Tuesday, July 19, 2011

MAJIKAN DORONG PEMBANTU RUMAH DAPAT DIPLOMA!

MAJIKAN kepada pembantu rumah Indonesia, Tan Choo Tang, 56, telah mengizinkan pembantu rumahnya, Sarmini Muhyadi, 28, melanjutkan pelajaran sehingga lulus cemerlang dan berjaya mendapat diploma dalam bidang pengurusan.
“Jika ada pembantu rumah yang menunjukkan minat untuk belajar, kita patut galakkan. Bagaimanapun semuanya terpulang kepada situasi dan majikan itu sendiri,” katanya kepada Mingguan mStar.
Choo Tang berkata, dia dan isteri, Wee Phooi Khuan, 47, tidak pernah kesal ‘melepaskan’ Sarmini menyambung pengajian sebaliknya menganggap ia sebagai ‘situasi menang-menang’.
“Selepas tiga tahun bekerja dia beritahu saya yang dia mahu pulang ke kampungnya di Jawa Tengah dengan alasan mahu sambung belajar.
“Saya fikir kenapa tidak dia belajar separuh masa sambil bekerja. Lagipun saya lihat simpanannya tak cukup. Kalau saya izinkan dia belajar, impiannya akan tertunai dan kami sekeluarga masih boleh mendapatkan khidmat Sarmini,” katanya.
Sepanjang empat tahun di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), pasangan ini sering bertolak-ansur dengan Sarmini kerana faham tanggungjawab yang perlu dipikul seorang pekerja dan pelajar.
Dalam masa yang sama, Sarmini juga tidak pernah mengabaikan kerja-kerjanya di rumah walaupun perlu belajar, menyiapkan tugasan dan mengambil peperiksaan.
Melihat kesungguhan Sarmini, Choo Tang sekeluarga berasa terpanggil untuk membantu bukan sahaja dari segi pembiayaan yuran pengajian tetapi juga sanggup berkorban masa dan tenaga.
Choo Kang bersama gambar bekas pembantu rumahnya yang berjaya mendapat diploma dan kini telah menerima tawaran kerja di Indonesia.
“Anak saya tolong dari segi pemahaman bahasa Inggeris. Isteri dan kakak ipar saya membantu mendapatkan informasi ketika dia menyiapkan projek,” katanya yang turut menyediakan komputer dan mesin pencetak untuk kegunaan Sarmini.
Dalam tempoh empat tahun pasangan ini turut bertanggungjawab menghantar dan menjemput Sarmini di kuliah serta sanggup mengambil cuti apabila Sarmini menduduki peperiksaan.
Menurut Choo Tang, Sarmini akan menelaah dari pukul 9 malam ke atas iaitu selepas selesai melakukan tugasnya di rumah dan jika ada kelapangan.
Sebagai majikan yang pernah mendapatkan khidmat empat pembantu rumah Indonesia sebelum ini, Choo Tang berpendapat persefahaman antara majikan dan pembantu rumah amat penting.
“Saya upah pembantu rumah supaya mereka dapat membantu meringankan beban saya dan isteri, bukan bekerja sepanjang hari kerana mereka juga manusia biasa yang perlu berehat,” katanya.
Sarmini telah pulang ke negaranya pada 3 Julai lalu dan terus mendapat tawaran kerja.Choo Tang turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan OUM kerana membenarkan Sarmini melanjutkan pelajarannya di universiti itu. - MINGGUAN mSTAR

3 comments:

  1. Tahniah kepada majikan sebegini....

    Cerita pasal maid ni pernah keluar di rancangan Apa kata wanita rtm 1 beberapa hari sebelum dia pulang ke negara nya.

    ReplyDelete
  2. Bagusnya dan sangat berhati mulia majikan macam ni.

    ReplyDelete