KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu popular Desa Tercinta dan Naluri, Nora Ariffin kini mahu dikenali sebagai Nora J. Jelasnya, perkataan J itu diambil sempena nama suaminya, Johan Nawawi.
"Biasanya orang selalu tertukar dengan orang yang bernama Nora Ariffin kerana di Singapura juga mempunyai seorang model bernama Nora Ariffin.
"Jadi, saya lebih suka menggunakan nama Nora J atau Nora Johan untuk mengelakkan kekeliruan," ujarnya sewaktu majlis pelancaran album Voices of Ummi (VOU) - Erti Al-Fatihah di Saloma Bistro, di sini, Selasa.
VOU merupakan kumpulan penyanyi kanak-kanak yang digabungkan kerana suara mereka juga adalah suara watak-watak utama dalam siri animasi muzikal kanak-kanak berjudul Ummi-Ceritalah Pada Kami.
Mereka adalah dua anak Nora iaitu Alif Johan (Alif), 12, dan Putri Dahlia (Putri), 7, serta Aiman Abbas (Aiman), 14, Hana Hamdan (Hana), 11, dan Jihad Hamdan (Atan), 8.
Selain Nora, artis undangan dalam album itu ialah Bringgo dan Mosyi.
Menurut Nora, anak-anaknya itu mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan sangat berminat untuk menyertai kumpulan tersebut.
"Saya sangat bersyukur dengan anugerah yang diberikan kepada anak-anak saya dan mereka rela melakukan kerja ini tanpa paksaan.
"Saya yakin album ini akan mendapat sambutan kerana ia bukan sahaja disasarkan kepada kanak-kanak tetapi golongan remaja dan dewasa dan lagu-lagu seperti ini harus diberi peluang untuk diputarkan di stesen radio," ujarnya.
Dalam pada itu, suaminya selaku penerbit album berkenaan memberitahu album yang mengambil masa setahun untuk disiapkan itu merupakan album runut bunyi bagi mempromosikan animasi terbitan syarikatnya, Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd.
"Album ini menampilkan 13 buah lagu yang akan diedarkan oleh Erama Creative Sdn Bhd dan Erama Records Sdn Bhd melalui portal www.erama.tv menjelang bulan Ramadan ini.
"Animasi Ummi dijangka akan siap pada hujung tahun ini. Jadi, sementara animasi tersebut siap, kami hasilkan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam animasi ini kerana ia akan diselang-seli dengan lagu berkonsep pop kerohanian," ujarnya yang turut bersedia untuk memasuki pasaran muzik Indonesia jika diberi peluang.
Nora yang menyambut kelahirannya ke-38 Selasa turut diraikan pada majlis tersebut. - mStar Online
Buatlah apapun asalkan bahagia ya Jee kan...
ReplyDeleteSetahu saya orang Islam tidak boleh menggunakan nama suami, mesti mengekalkan nama bapa. Wallahuaklam...
ReplyDeleteBetul tu. Setahu Kjee haram. Takkan dia tak tahu kan?
ReplyDelete