Monday, August 15, 2011

KLIP BERITA SANA SINI 15 OGOS 2011


TABUNG RAMADHAN SUMBANGAN JEMAAH DIKEBAS 


JOHOR BAHRU: Tabung Sedekah Ramadan di Masjid Taman Perling di sini, tidak terkecuali daripada menjadi sasaran mudah pencuri yang tergamak cuba memecahkan peti berisi wang tunai hasil sumbangan jemaah itu.
Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 1.30 pagi Jumaat lalu, dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) ketika cuba memecahkan sebuah daripada lebih 10 peti sumbangan yang ditempatkan di sekitar masjid.


Kehadiran mereka yang mencurigakan itu apabila tergamak memasuki masjid dengan memakai kasut, disedari beberapa anggota polis yang kebetulan singgah di sebuah gerai burger berdekatan. Langkah anggota polis mendekati untuk membuat pemeriksaan menyebabkan dua pemuda itu melarikan diri.

Namun tindakan mereka lari secara meninggalkan sebuah motosikal di laman masjid itu menyebabkan seorang daripada suspek berhasil ditahan polis kelmarin selepas mengesan berdasarkan nombor pendaftaran, manakala seorang lagi rakan suspek sedang diburu.

Usaha pencuri melarikan wang daripada tabung masjid berkenaan bukan baru, sebaliknya sudah dua kali berlaku tahun ini iaitu pada Mei dan Jun lalu yang turut dirakam menerusi CCTV yang dipasang.

Selain cuba memecah mangga kunci, ada di antara pencuri terbabit menggunakan taktik memancing secara melekatkan gam pada hujung lidi penyapu sebelum dihulurkan ke dalam tabung berkenaan dengan harapan dapat melekatkan wang kertas di dalamnya. 
Setiausaha Masjid Taman Perling, Hashim Sulaiman, berkata beliau tidak menyangka penjenayah sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan wang tanpa mengira hukum agama.

“Kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, adalah kes ketiga tabung masjid dipecahkan tahun ini. Ia dipercayai dilakukan selepas waktu solat Isyak hingga Subuh kerana ketika tiada jemaah dalam masjid.

“Sebelum ini ada pencuri menggunakan taktik pancing dengan membalut gam pada hujung lidi penyapu dan mengambil wang derma tanpa memecahkan tabung berkenaan.
“Walaupun jumlah yang mampu diperoleh mereka tidak seberapa, tetapi ia memberi kesan kepada kami selaku ahli jawatankuasa masjid kerana wang itu sumbangan orang ramai untuk tujuan baik, tetapi disalah guna pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui semalam.

Hashim berkata, pencuri dipercayai mengambil kesempatan terhadap kelonggaran keselamatan masjid terbabit yang tidak berkunci pada waktu malam untuk melakukan jenayah.

“Ruang masjid ini tidak berkunci kerana kami mahu memberi kemudahan kepada musafir yang ingin menumpang pada waktu malam. Namun, ada individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kelonggaran ini," katanya.

Hashim berkata, selain memasang enam CCTV di sekitar kawasan masjid terbabit, pihaknya akan berusaha meningkatkan lagi rondaan kawasan sekitarnya pada sebelah malam dan awal pagi dalam usaha mengelak kejadian berulang. - berita harian online



KJEE; ASTAGHAFIRULLAHALAZIM...




AKTOR HINDUSTAN SHAMMI KAPOOR MENINGGAL DUNIA 



MUMBAI: Aktor serba boleh India, Shammi Kapoor meninggal dunia pada usia 79 tahun selepas menceburi karier yang panjang di Bollywood.


Doktor pelakon itu, Bhupendra Gandhi berkata, Kapoor dimasukkan ke Hospital Breach Candy di bandar raya ini dua hari lalu dalam keadaan kritikal. Dia menerima rawatan dialisis dan meninggal, semalam disebabkan buah pinggangnya gagal berfungsi. 


Shammi dikenali kerana sering membawa watak sebagai seorang yang periang dalam filem. Dia berasal daripada keluarga Kapoor yang terkenal di Bollywood.

Abangnya, Raj Kapoor dan adik lelakinya, Shashi Kapoor juga adalah aktor yang berjaya, manakala bapanya, Prithviraj Kapoor adalah personaliti teater yang ternama pada 1950-an.



Shammi mula menceburi dunia lakonan Bollywood pada 1953 dan berlakon dalam filem terkenal Junglee dan Professor. Dia juga muncul dalam Brahmchari and Janwar.




Shammi meninggalkan seorang isteri dan dua anak.


KJEE; ANTARA PEMINAT MENDIANG



3 jenis bawang bawah skim kawalan harga

BERA, 14 Ogos — Tiga lagi barangan keperluan iaitu bawang merah, bawang putih dan bawang besar disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri 2011, kata Menteri Perdagangan

Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Barang yang disenaraikan sebelum ini ialah daging lembu tempatan, daging lembu import, telur gred A, B dan C, ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kerbau tempatan, daging kerbau import, kobis bulat import, cili merah, tomato, kelapa parut, kacang tanah import, ikan kembung dan kentang.

Ismail Sabri berkata barangan tersebut disenaraikan kerana ia dilihat akan menjadi keutamaan kepada orang ramai semasa musim perayaan nanti.

"Kawalan harga barang itu akan dikuatkuasakan selama dua minggu iaitu bermula dari 22 Ogos hingga 5 September 2011," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada warga emas dan di rancangan Felda Rentam, Bera, di sini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga memberi jaminan bahawa barangan keperluan bersempena sambutan Aidilfitri nanti mencukupi dan semua pemborong telah diminta memastikan barangan seperti bekalan ayam, daging, kelapa serta minyak masak mencukupi di pasaran.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah menambah bekalan minyak masak sebanyak 7,000 tan metrik lagi sebagai tambahan kepada 70,000 tan metrik yang dibekalkan setiap bulan kepada pembekal dan pemborong untuk diedarkan kepada peniaga bagi keperluan hari raya ini, katanya.

Beliau berkata pihak penguatkuasa kementeriannya juga akan membuat pemantauan harga dan tindakan tegas 
akan dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan secara melampau. — BERNAMA


KJEE: PASTI RAMAI YANG LEGA



0 comments:

Post a Comment