Monday, August 22, 2011

KLIP BERITA SANA SINI 22 OGOS 2011

Lelaki ditahan berhubung kes simbah asid, direman lima hari 

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang ditahan petang semalam di ibu negara berhubung kes simbah asid terhadap seorang pemuda di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu, direman lima hari bermula hari ini. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata lelaki berusia 28 tahun itu adalah kenalan kepada mangsa.

"Lelaki yang ditahan itu mengenali mangsa dan polis yakin dengan penahanannya dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes simbah asid yang berlaku di Jalan Raja Laut itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Rafie Abdul Latif, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki ketika berada dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya di sini. 

Lelaki itu dikatakan membuka pintu kereta mangsa dan menyimbah mangsa dengan asid yang menyebabkan kulit muka mangsa melecur, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki. 

Sumber berkata, lelaki yang ditahan itu merupakan seorang dari rakan mangsa yang bersamanya pada hari kejadian dan dibawa oleh pihak polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu tempat mangsa dirawat dalam keadaan tangan bergari, semalam. 
"Lelaki (yang ditahan) itu ada bertengkar dengan mangsa beberapa hari sebelum kejadian, namun tidak dapat disahkan sama ada dia terbabit," katanya. - BERNAMA/berita harian 


KJEE: KES DENDAM KE?



CULIK: IBU SANGGUP JADI TEBUSAN

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Seorang ahli perniagaan wanita sanggup mengambil alih tempat anak gadisnya yang menjadi tebusan kepada seorang lelaki bersenjata dalam sebuah kereta di Taman Bukit Cheras di sini, awal pagi ini.
Tindakan berani wanita berusia 44 tahun itu berlaku ketika dia cuba menyelamatkan anak gadisnya berusia 24 tahun yang sebelum itu diculik di hadapan rumah mereka di Gombak, kira-kira pukul 1.30 pagi.
Suspek, dipercayai seorang ah long berusia 32 tahun dan kenalan kepada keluarga mangsa membawa mangsa ke rumahnya di Taman Bukit Cheras.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, anak gadis mangsa yang juga ahli perniagaan diculik sebaik sahaja tiba di rumah menaiki sebuah kereta jenis BMW.
"Mangsa yang tidak menyedari suspek menunggu di hadapan rumah terkejut apabila diacukan senjata dan dipaksa memandu keretanya pergi ke rumah lelaki terbabit di Taman Bukit Cheras," katanya pada sidang akhbar Balai Polis Alam Damai, Cheras di sini, hari ini.
Mohan Singh berkata, ibu mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian culik itu oleh seorang anak gadisnya yang tinggal di Australia bergegas membuat laporan polis di Gombak sebelum pergi ke rumah suspek.
Beliau berkata, suspek sempat memanggil dua rakannya datang ke rumah membantunya, cuba melarikan diri menggunakan kereta mangsa sebaik sahaja menyedari kedatangan polis.
"Suspek memaksa seorang rakannya memandu kereta, manakala dia yang bersenjatakan pedang duduk di belakang bersama mangsa yang dijadikan tebusan.
"Bagaimanapun, kereta itu tidak dapat bergerak apabila dihalang oleh kenderaan polis dari depan dan belakang menyebabkan suspek bertambah agresif sehingga keadaan menjadi semakin cemas," ujarnya.
Melihat nyawa anak gadisnya terancam, ibu mangsa memujuk suspek agar membenarkan dirinya dijadikan tebusan.
Menurutnya, usaha memujuk suspek dan pertukaran tebusan itu mengambil masa kira-kira tiga jam sebelum suspek akhirnya dapat diberkas.
"Kita masih menyiasat motif penculikan ini dari semua sudut termasuk kaitan dengan hubungan cinta," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Katanya lagi, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (culik), Seksyen 307 (cubaan membunuh) dan Seksyen 342 kanun yang sama (mengurung secara salah) serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (memiliki senjata). - UTUSAN MALAYSIA


KJEE: KASIHNYA IBU





Jangan tertipu kurma RM1


PERBEZAAN kurma tiruan (kiri) dan kurma asli yang kelihatan segar.


GEORGE TOWN – Permintaan tinggi buah kurma semasa bulan Ramadan menyaksikan ada segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan menjual buah kurma yang dicampur dengan bahan pemanis.
Kebiasaannya, cara ini diamalkan oleh peniaga yang menjual buah kurma secara pukal atau timbang dengan harga yang lebih rendah.
Difahamkan, peniaga atau pemborong ini mengimport buah kurma yang berkualiti rendah secara pukal sebelum diproses bagi membolehkan buah kurma ini dijual semula.
Kosmo! diberitahu, buah-buah kurma ini digaul dengan gula merah dan disimpan beberapa lama untuk sebati sebelum dicampur semula dengan buah kurma kualiti sederhana.
“Hasilnya, buah kurma kualiti rendah ini akan terasa manis seperti kurma sebenar (buah kurma yang berkualiti baik) tapi sebenarnya ia telah dicampur gula merah.
“Buah kurma jenis ini dijual secara timbang dan banyak dijual di kedai-kedai runcit atau gerai kaki lima sepanjang Ramadan,” ujar sumber yang memberitahu pernah mempraktikkan kaedah tersebut.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini. 
KJEE: HANYA BELI KURMA YANG ADA JENAMA

2 comments:

  1. Salam kak jee... sejak kenal dgn blog kak jee 3,4 hari lepas melalui kak Azlita, terus terpikat. Sekurang-kurangnya, melalui isu2 yg k.jee paparkan dpt memberi sedikit info buat saya yg berada di perantauan ini. Melalui blog kak jee ni, saya terasa dekat dgn kak jee... harap dpt terus berkawan. tq

    ReplyDelete
  2. setuju kata Jumee Zaila..
    baca apa yg kak jee tulis rasa macam kita ada sama kat tempat kejadian :-)

    kak jee..teruskan menulis yer,

    ReplyDelete