Mangsa lif terhempas hadapi risiko keguguran
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Seorang wanita sarat mengandung tujuh bulan yang cedera setelah lif dinaikinya di sebuah pusat beli-belah di Selayang terhempas, dekat sini malam tadi, mungkin berhadapan dengan risiko keguguran.Perkara itu dinyatakan oleh doktor kepada suami mangsa, Nor Fahmi Izuan Othman, 25, hari ini kerana terpaksa membius wanita itu untuk satu pembedahan.
Pembedahan itu diperlukan bagi memasukkan plat besi di kaki mangsa bagi membetulkan tulangnya yang terkeluar.
Menurut Nor Fahmi, sekiranya isterinya, Nor Azlina Mohd. Yusof, 25, terpaksa dibius untuk dibedah, doktor memaklumkan terdapat risiko untuk keguguran sebanyak satu peratus.
"Ketika ini, isteri saya sanggup tidak dibius dan menahan kesakitan kerana patah kaki dan tulang terkeluar untuk menyelamatkan kandungan.
"Namun doktor memaklumkan terpaksa juga untuk membedah Nor Azlina," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Fahmi yang kesal kerana pihak pengurusan premis itu gagal menyediakan persekitaran selamat untuk pengunjung tidak menolak kemungkinan menyaman pihak terlibat.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, meskipun pihak pengurusan premis itu tidak memberi makluman awal kejadian namun pasukan itu bertanggungjawab menyiasat kemalangan tersebut kerana melibatkan nyawa orang ramai.
"Biasanya ada agensi lain yang lebih relevan untuk menyiasat kemalangan melibatkan lif tetapi bomba tetap menghantar sepasukan anggota untuk menyiasat kes itu.
"Kita juga akui, bomba mengetahui kemalangan selepas mangsa diselamatkan kerana pihak pengurusan tidak memberi makluman awal kepada kita," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Nor Azlina bersama tujuh ahli keluarganya terpaksa melalui detik cemas apabila sebuah lif di pusat beli-belah tiba-tiba rosak mengakibatkan mereka jatuh terhempas di tingkat bawah tanah.
Nor Azlina patah kaki kerana terpaksa menahan diri daripada terjatuh ketika lif itu terhempas bagi memastikan kandungannya selamat.
Sementara itu, Pengurus Promosi Selayang Mall, Desmond Ting ketika dihubungi hari ini kesal dengan insiden yang berlaku dan berjanji akan sedaya-upaya membantu mangsa. - Utusan Malaysia Online
KJEE - JOM DOAKAN IBU DAN ANAK SELAMAT!
Harga emas jatuh mendadak
ALIRAN kenaikan jangka panjang emas terhenti selepas mencapai kemuncaknya tiga minggu lalu dengan kejatuhan hampir 20 peratus daripada paras tertinggi yang dicatat pada 6 September lalu.
Kontrak semasa emas semalam terus mengalami penyusutan dengan kejatuhan 5.8 peratus kepada AS$1,561.69 seauns kejatuhan harian terbesar sejak Oktober 2008.
Penganalisis berkata, kejatuhan mendadak harga logam berharga itu sejak kebelakangan ini adalah berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), penjualan oleh dana lindung nilai untuk mendapat tunai bagi menampung kerugian di pasaran lain serta ketidaktentuan terhadap daya tarikan emas sebagai instrumen pelaburan selamat.
Bagi kontrak semasa perak, yang mana harganya lebih berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi susulan kegunaan dalam industri, mencapai paras terendah sejak Januari dan susut 45 peratus daripada paras tertinggi yang dicatat pada April.
Ahli Ekonomi Kanan Penyelidikan UOB, Alvin Liew, berkata sebelum ini tunai digunakan untuk melabur dalam komoditi khususnya emas dan perak.
Bagaimanapun, katanya emas kini bukan lagi instrumen menarik untuk melindungi pelaburan daripada inflasi susulan masalah hutang Eropah dan jangkaan inflasi Amerika Syarikat (AS).
Kedua-dua masalah itu menyaksikan dana mengalir kembali ke AS, yang mana menyaksikan peningkatan semula nilai dolar.
Namun begitu, dalam jangka panjang, emas masih memiliki nilainya yang tersendiri dan harganya akan meningkat dalam tempoh akan datang, jelasnya.
Bagi Ketua Penyelidikan Komoditi, Pengurusan Kekayaan UBS, Dominic Schnider, berkata dari sudut teknikal, emas masih belum memasuki jajaran terlebih jualan dan secara keseluruhannya aliran kenaikan kini semakin pudar.
Harga komoditi itu dijangka meningkat semula kerana sebelum ini, kami sudah menyaksikan peningkatan permintaan fizikal yang kukuh terhadap komoditi itu khususnya dari Asia dan secara bermusim, ia akan memasuki tempoh permintaan tinggi, katanya.
Pakar Ekonomi Serantau Penyelidik CIMB, Song Seng Wun, berkata ramai yang memperkatakan mengenai risiko emas akan memasuki jajaran terlebih belian, namun ia meningkat naik sejak empat tahun lalu.
Dengan tekanan kemelesetan meningkat, berlaku peralihan pelaburan kepada instrumen yang benar-benar selamat iaitu dolar AS dan Perbendaharaan AS, katanya.
Sementara itu, Penganalisis Phillip Futures, Ong Yi Ling, berkata kini harga emas sudah susut ke bawah paras purata 100 hari dan 150 hari dan ia memberi isyarat aliran penurunan akan berlaku dalam jangka pendek.
Untuk jangka panjang, selepas harganya kembali stabil dan keadaan kembali normal, instrumen pelaburan selamat itu akan kembali meningkat, katanya. - Reuters/berita harian online
KJEE : INI MASA PALING BAIK UNTUK MEMBELI EMAS.
Tinggal dalam 24 tan sampah
PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas memiliki hobi pelik apabila sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis sampah yang dikutip setiap hari selain makan dan tidur di situ sejak 10 tahun lalu.
Sehingga kini, wanita berusia 60-an itu hidup dikelilingi sampah-sarap seberat 24 tan dan hobinya itu dipercayai bermula selepas suaminya meninggal dunia menyebabkan dia ketandusan kasih sayang serta sunyi hidup bersendirian selepas anaknya tinggal berjauhan.
Ekoran sifat peliknya itu, jiran di kawasan sekitar itu membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya mengambil tindakan berikutan tidak tahan dengan bau busuk dari rumahnya.
Ahli Majlis Zon 14 MBPJ, R Selvarajan berkata, bertindak selepas menerima aduan orang ramai, seramai 50 kakitangan MBPJ diketuai beliau sendiri ke rumah terbabit dan mendapati hampir setiap sudut kediaman berkenaan dipenuhi sampah.
“Ini kes pertama di kawasan ini. Agak mengejutkan melihat rumahnya yang dipenuhi pelbagai jenis botol, plastik, kayu dan pelbagai sampah-sarap lain.
“Lapan lori terpaksa digunakan untuk mengeluarkan sebanyak 24 tan sampah dari rumah terbabit selepas dibersihkan,” katanya selepas operasi berkenaan, semalam.
Operasi bermula jam 8.30 pagi itu turut disertai anggota polis Petaling Jaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. Selvarajan berkata, bagi kesalahan itu, denda dikenakan ke atas wanita terbabit berikutan kesalahan membiarkan pembiakan nyamuk aedes.
Menurutnya, setiap hari seawal jam 4 pagi, warga emas itu akan keluar mengayuh basikal untuk mengutip sampah sebelum membawa pulang pada sebelah malam.
“Menurut jirannya, wanita itu tidak mempunyai masalah kewangan untuk menyara hidup kerana anaknya selalu memberikan wang selain mempunyai beberapa rumah sewa,” katanya.
“Tetapi, disebabkan dia hidup berseorangan dan tidak tahu berbuat apa-apa, dia bertindak sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan merujuk wanita berkenaan di hospital bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai masalah mental atau tidak. - METRO
KJEE: TAK TAHU APA NAK KATA
ya Allah mudah-mudahan mangsa selamat
ReplyDelete