Saturday, September 17, 2011

TAHNIAH! AZAD DAN EIRA KINI BERGELAR SUAMI ISTERI

Selamat nikah malam tadi



PASANGAN BAHAGIA...Azad dan Eira pada majlis pernikahan mereka, malam tadi.
PASANGAN BAHAGIA...Azad dan Eira pada majlis pernikahan mereka, malam tadi.
PUTRAJAYA: Lebih tiga tahun menyemai cinta, pasangan dramatis dan pelakon popular, Eira Syazira, 27, bersama Azad Jazmin, 35, akhirnya bernikah di rumah keluarga Eira di Putrajaya, di sini, malam tadi.
Akad nikah dilakukan ayah Eira sendiri, Shuhaimi Acheh pada jam 8.50 malam dan dengan sekali lafaz Eira Syazira sah milik Azad dengan disaksikan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat.

Hadir sama keluarga Azad dan ibu bapanya, Jeffri Abdullah dan Rosidah Kadir.


Eira ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana majlis berjalan lancar dan mengharapkan alam rumah tangga mereka berkekalan selama-lamanya. “Alhamdulillah apa yang kami berdua impikan selama ini berjaya direalisasikan walaupun persiapan dilakukan pada saat akhir dan kami bertuah kerana keluarga banyak membantu.

“Kerjaya kami berdua sebagai anak seni memang memberi ruang yang besar untuk pelbagai spekulasi, namun semuanya berjaya kami tepis dengan keputusan mendirikan rumah tangga ini.


“Apa yang penting sekarang percaturan kami berdua untuk membina keluarga bahagia dan terus menyokong antara satu sama lain. Saya sendiri akan berusaha untuk menjadi isteri yang baik dan memastikan agar ikatan ini berkekalan,” katanya yang menerima mas kahwin RM300, tetapi wang hantaran dirahsiakan.



Pasangan itu mengenakan busana putih rekaan Hairi Tajuddin dan Wanpa malam tadi. Eira menerima sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang kepada Azad yang ditaja sepenuhnya Zaha Wedding Planner dan Ari Wedding Couture.

Selain jam tangan, tas tangan lelaki, kasut dan tali pinggang, pihak Eira turut menghantar jambangan coklat, gubahan buah-buahan, sejadah dan al-Quran, sirih junjung, satu set barangan sukan dari jenama pasukan bola sepak kegemaran Azad, Chelsea dan sepersalinan baju Melayu berwarna putih. Malah, sebentuk cincin yang dirahsiakan harganya juga dikirimkan buat Azad. Manakala pihak Azad membalas dengan beg tangan berjenama Tod’s, jam tangan Fossil, sepasang kasut, buah-buahan dan coklat, telekung, sejadah, al-Quran, sirih junjung, iPad2 serta sebentuk cincin berlian.


Azad pula yang tampil segak tidak henti melahirkan rasa syukur kerana akhirnya mereka berdua disatukan dengan ikatan suami isteri. “Eira seorang yang penyayang, penyabar dan sentiasa memahami saya dalam apa juga situasi. Jujurnya dialah insan yang tidak henti menyokong kerja dan apa saja masalah yang membebankan saya. Lantas saya percaya Eira adalah permaisuri terbaik buat saya kerana dialah yang melengkapkan hidup saya,” katanya yang merisik serta bertunang pada pertengahan Mei lalu.

Pasangan itu akan melangsungkan majlis resepsi pada 19 November ini di kediaman keluarga Eira di Presint 14, Putrajaya dan 26 November pula di sebelah lelaki di Dewan Merin, Georgetown, Pulau Pinang. - METRO


1 comment: