Sunday, May 13, 2012

13 MEI 1969 --SOROTAN REMAJA BERUSIA 13 TAHUN






43 tahun lalu. Tanggal 13 Mei, 1969. Keluarga Kjee - bapak, mak, Kjee serta dua adik iaitu Faridah dan Fazilah. Abang Fauzee ketika itu belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).






Kjee di tingkatan 1 di SMK Air Panas Setapak. Kjee tak ingat Faridah sekolah mana sementara Fazilah (sekarang dah arwah) belajar di Sekolah Rendah Cina San Min, Setapak dalam darjah 3.

Kami tinggal di belakang Chong Hwa High School di Batu 3¾ Jalan Gombak, kira-kira 20 minit dari Chow Kit. Kawasan 99% dihuni orang Cina. Hanya ada dua rumah orang Melayu dan satu  rumah orang India Muslim. Lain semua Cina. Rumah Melayu satu lagi (selain kami) dihuni oleh satu keluarga kecil. Suaminya kerja sebagai askar. Yang India Muslim itu orang meniaga.

Hidup kami cukup harmonis. Jiran-jiran sebelah menyebelah (kecuali jiran Melayu) seringkali bertegur sapa. Jiran Melayu tu pulak menyendiri dan enggan bercampur gaul. Tak tahu kenapa.

Pada tanggal 10 Mei 1969, jiran Cina (perempuan) sebelah rumah kami mati. Kami tak tahu dia mati. Kjee balik sekolah, mak ajak ke rumahnya kerana mak kata seharian tak nampak dia. Kami masuk ke rumahnya yang tidak berkunci. Dia di dalam bilik. Mak panggil dia dua tiga kali tapi dia tak bangun tidur. Mak pegang kakinya. Panas. Mak cuba gerak dia tapi tak ada respon. Mak terus keluar panggil jiran lain. Mereka datang. Wanita itu sah dah meninggal! Mungkin baru beberapa jam.

Malam itu bapak tolong jiran-jiran Cina lain pasang lampu dan kemah di rumah si mati. 

Petang 13 Mei 1969. Kami sekeluarga di dalam rumah. Rumah kami di tingkat atas. (Rumah teres ala town house. Bawah orang lain duduk). Tiba-tiba kami dengar kecuh-kecuh di luar rumah. Bapak jenguk luar beranda. Tanya apa hal.

"Gaduh...gaduh.." kata seorang jiran Cina kami sambil berlari join kawan-kawannya yang lain. Bapak panggil Fazilah dengar apa mereka bual. Fazilah sekolah Cina so dia faham apa dia orang kata.

"Orang Melayu dengan Cina gaduh, bapak. Kat Setapak dan Kampung Baru!" kata Fazilah yang ketika itu baru 9 tahun. Setapak hanya 10 minit dari rumah kami!

Bapak pucat. Mak mula menangis. Kjee tak faham kenapa mesti menangis dengar orang gaduh. Lutut mak terus lembik dan dia tiba-tiba demam. Terkejut yang amat-amat.

Di luar rumah kami intai orang Cina tengah potong batang paip besi dan asah (digesel-gesel diatas jalan tar) jadikan buncunya tajam, di tepi jalan. Bapak masih intai dari berandah. Suami Jiran Cina kami yang baru mati dua hari lepas suruh bapak masuk dan tutup pintu dan tingkap.

"Jangan tunjuk muka. Takut orang Cina luar datang nampak awak, nanti susah," katanya. Bapak terus masuk dan kunci semua tingkap dan pintu.

Semalaman kami tak tidur. Masa itu barulah tahu rasa takut. Bukak TV dan Radio. Kjee tak ingat apa yang ditayangkan di TV. Mak semakin panas demam. Bapak bukak tingkap dan nampak jiran-jiran kami. Beritahu mak sakit. Tak sampai satu jam, salah seorang datang bawak ubat yang dibeli di kedai sinseh berdekatan.

Kemudian datang lagi jiran lain bagi satu guni kentang. Sebuah lori bawak kentang on the way pergi Pahang tersangkut di kawasan kami sebab perintah berkurung. Semua kentang diagih-agihkan kepada penduduk termasuk kami.






Siang itu, satu trak askar datang bawak pergi keluarga Melayu yang suami dia kerja askar. Bapa enggan ikut sama. Kemudian satu trak polis datang untuk bawak kami pergi dari situ. Arahan dari datuk Kjee yang tinggal di Kpg Baru. Bapak masih berkeras. Katanya, keluarganya tak semestinya selamat kalau dipindah ke tempat lain. Lagipun, setiap masa ada agihan makanan seperti beras, gula, minyak dan sardin dari jiran-jiran Cina. Tak tahu mana mereka dapat. Mungkin ada lori lain yang terkandas jugak kot.

Di TV dan Radio pengumuman untuk orang derma darah dibuat. Tabung Darah sudah kering kerontang. Sesiapa nak derma, akan dijemput dari rumah! Bapak pelan-pelan pergi rumah jiran dan telefon Tabung darah hantar orang jemput dia. Dia penderma darah regular.

Dan masa bapak pergi, baru kami dapat cerita kisah sebenar di Kuala Lumpur. Bermandian darah. Cerita lain Kjee tak tahu sebab muda sangat masa tu.

Cuma Kjee tidak dapat lupa jiran-jiran Cina di kawasan perumahan kecil di belakang Chong Hwa High School sampai ke hari ini. Kalau tidak kerana jiran-jiran yang baik hati dan bermufakat, pasti kami sekeluarga tidak wujud hari ini.

Walaupun setelah lama kami berpindah dari kampung Chong Hwa itu, namun tiap kali Hari Raya, mereka akan berduyun-duyun mengunjungi kami. Begitu jugak kalau Tahun Baru Cina, bonda akan masak rendang dan kuih Melayu dan hantar kepada mereka.

Ketika itu, semua bangsa hidup saling hormat menghormati. Dulu kami lebih 1 Malaysia dari sekarang. Sebabnya? Tiada 'anasir-anasir' peniup semangat kebencian di antara kaum, Sekarang ini, orang Melayu benci sesama sendiri, orang Islam benci sesama sendiri...bangsa lain dengan bangsa Melayu? Hmmm sedih sangat.

Hentikanlah meniup sentimen perkauman. Kjee yakin kita semua sama. Mahu capai satu matlamat iaitu ingin generasi kita hidup selesa di bumi bertuah ini selepas kita tiada.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. 

43 tahun lalu, Malaysia belum canggih macam sekarang tapi kenapa sebelum peristiwa 13 Mei, kita semua hidup bersatu padu. Selepas 13 Mei, barulah ada kebangkitan orang Melayu. Bukan bangkit untuk bergaduh tapi ekonomi orang Melayu bertambah baik dengan wujudnya Dasar Ekonomi baru.

Tapi di zaman Malaysia Moden ini, timbul pulak satu agenda baru. Agenda meniupkan sentimen yang kurang sihat di kalangan pelbagai bangsa. Haruskah kita benarkan petualang-petualang negara ini merosakkan apa yang datuk dan nenek kita bina selama ini? Renung-renungkanlah.







16 comments:

  1. wah.. kjee lalui sejarah 13 Mei. Kan bagus kalau kita amalkan hidup muafakat cam dulukan kjee.

    ReplyDelete
  2. Allahuakbar...walaupun sy masih belum dilahirkan pada masa tersebut, hati sy sebak membaca nukilan Kak Jee...alangkah indahnya kalu kita sebagai rakyat Malaysia dapat hidup harmoni macam keluarga Kak Jee dan jiran2 pada masa tersebut...

    ReplyDelete
  3. Nauzubillah..dunia semakin maju tapi pemikiran yang semakin mundur..
    Minta dijauhkan negara kita dari bala bencana dan mala petaka

    ReplyDelete
  4. Betul tu kak Jee..saya sekolah cina thn 70 an dan ramai kawan2 berbangsa cina dan India
    Biarpun kerap berselisih pendapat tp kami kekal bersahabat sampai skrg.
    Kerap kali bila balik rumah parents bapak saya bagitau kawan2 cina saya call parents saya tanya khabar.Dulu masa sekolah parents saya rajin jamu makan n layan diaorang.Saya pun selalu ikut best friend saya balik kampung dia bila raya cina...sayang semangat mcm ni dah luntur sekarang.

    ReplyDelete
  5. saya rasa terharu baca kisah kak gee ni,sayangnya
    tak smeua orang kini bersikap mcmtu,..dh luntur semangat kekeluargaan sebegitu,...

    ReplyDelete
  6. Kita berdoa agar kenangan zaman dahulu itu dpat berkekal sehingga sekarang... Saya cukup benci dengan mereka2 yang mempunyai anasir jahat yang akan memporak perandakan negara kita Malaysia... Sekarang ni dah cukup aman, tapi mereka tak bersyukur dengan kenikmatan yang ada... :(

    ReplyDelete
  7. salam kenal kak jee...

    tu la harapan papa mifz biarlah Malaysia nih kekal aman damai...amin...

    ReplyDelete
  8. Salam kak,memang betul apa yang akak katakan tu.nasib baik keadaan di sarawak ni masih seperti cerita akak..aman damai dan bekerjasama..janganlah hendaknya api perkauman itu dinyalakan. Lagi-lagi kami disini,dalam setiap keluarga pasti ada bangsa lain kerana perkahwinan campur.Jadi cubit paha kiri,paha kanan pun terasa..semoga perpaduan yang terjalin tidak akan musnah begitu saja..

    ReplyDelete
  9. Bergenang airmata aku membaca, teringat kisah itu. Laluan hidup aku juga hampir serupa.

    Aku dan kawan-kawan, tak kira Melayu atau Cina berpelukan semasa hari pertama sekolah dibuka, syukur kerana semua selamat.

    Kami hairan kenapa Melayu perlu bergaduh dengan Cina hingga sampai berbunuhan. Memang aku selalu bergaduh dengan seorang rakan sekolah berbangsa Cina. Tetapi selepas 13 Mei itu, kami sama-sama menangis, lebih rapat lagi persahabatan kami. Sebelum itu dia adalah musuh aku. Mungkin istilah aku silap, musuh dalam pelajaran saja. Dan dia menjadi sahabat aku hingga beberapa tahun yang lalu, meninggal akibat kanser.

    ReplyDelete
  10. tak dapat nak bayangkan.. macam mana kecohnya peristiwa hitam tu.. alhamdulillah kak jee sekeluarga dapat jiran2 macam tu masa tu.. agak2 la kan.. kalau zaman sekarang ni selamat lagi tak?

    ReplyDelete
  11. sebak membaca tulisan jee. rakaman kisah sejarah yg dilalaui penuh debaran. sejarah itu pasti berulang sekiranya bara rasis tidak segera dipadam...

    ReplyDelete
  12. saya pernah bekerja dengan satu yayasan di mana hanya saya seorang sahaja yang berbangsa melayu dan staff2 lain adalah berbangsa india dan cina. tp hubungan kami amat akrab, hormat menghormati dan saling bantu membantu. tapi sekarang saya bekerja di mana semua staff adalah berbangsa melayu. persekitaran di sini amat menyedihkan, hasad dengki, kutuk mengutuk dan mementingkan diri sendiri di tunjukkan secara terang terangan. sedih sungguh rasanya.

    ReplyDelete
  13. Thank you for sharing Kak Jee....teringat saya pada iklan Petronas ni....http://www.youtube.com/watch?v=bNm3By3D0og

    ReplyDelete
  14. yang mengapikan kita sebenarnya parti politik dan orang yang tak dapat kuasa

    ReplyDelete