Wednesday, August 8, 2012

TERIMA KASIH KERAJAAN NEGERI MELAKA


Keluarga allahyarham Ibrahim Pendek berkongsi rumah usang ini


Keluarga Ibrahim Pendek Dapat Tanah, Rumah Baru

MELAKA: Penderitaan keluarga pelakon veteran Allahyarham Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Hassan mendapat pembelaan apabila kerajaan negeri Melaka bersetuju untuk menghadiahkan mereka sebidang tanah dan rumah baru.
Berita gembira itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Tangga Baru, Datuk Idris Haron melalui setiausaha khasnya iaitu Mohd Yusof Mahathir selepas membaca kesengsaraan mereka di akhbar.
Mohd Yusof berkata, Idris yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi membincangkan tapak yang sesuai untuk membina rumah keluarga tersebut.
“Kerajaan negeri berasa kasihan dengan kesusahan keluarga pelawak itu dan mengambil keputusan untuk membantu mereka,” katanya kepada The Star pada Isnin.
Aidid anak sulong Allahyarham

Akhbar pada Ahad menyiarkan kesengsaraan keluarga pelawak seangkatan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu yang hidup dalam kesempitan di sebuah rumah usang, di tanah rizab berhampiran kabel elektrik voltan tinggi di Tanjung Kling di sini.
Isterinya Asiah Othman, 57, tinggal bersama enam orang anak dan 10 orang cucu di rumah berkenaan yang sempit selepas Ibrahim meninggal dunia pada November 2003 akibat asma.
Anak keempat Allahyarham iaitu Aidid Ibrahim, 33,berkata, adik-beradiknya yang berusia antara 29 hingga 40 tahun hanya bekerja menjual nasi lemak dan roti canai di Lereh dekat sini sejak sekian lama untuk menampung hidup.
“Pendapatan kami hanya cukup untuk menyara kehidupan kami sahaja. Empat daripada adik-beradik kami sudah kahwin an mempunyai anak tetapi untuk memiliki rumah baru adalah mustahil,” jelasnya yang turut dilahirkan sebagai kerdil bersama tiga adik beradiknya yang lain.
Sementara itu Aishah yang pada mulanya enggan mendapatkan bantuan kerana malu dengan nasib keluarga memberitahu, suaminya tidak meninggalkan apa-apa harta kepada keluarga sebelum meninggal dunia.
Katanya, selama ini dia bekerja keras dengan menjual makanan untuk menyara keluarga dan meneruskan hidup. - mStar Online

2 comments:

  1. aduh..kesiannya..tak sangka..

    huhu..

    ReplyDelete
  2. Moga Allah permudahkan segala urusan keluarga arwah. Al Fatihah untuk arwah.

    ReplyDelete