|
Thank You Aimran |
Beberapa hari lalu, Kjee terima foto diatas dari Majalah Business Times yang ditag oleh anak sedara Kjee, Aimran Amir di facebook. Terkedu Kjee seketika. Tidak pernah terlintas di hati Kjee yang arwah datuk Kjee, Haji Abdul Majid bin Hussein atau lebih dikenali sebagai Majid Satay adalah usahawan Bumiputera yang cukup berjaya di zamannya!
Bukan dakwaan sebarangan dari keluarga kami tetapi dari mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Tan Sri Rafidah Aziz!!
Kjee jugak google dan jumpa lah jugak sedikit sebanyak info mengenai arwah atuk. Tapi sedihnya, satu pun gambar arwah tiada dalam simpanan Kjee. Rupanya, ada persamaan sedikit dengan arwah Tun Ghafar Baba. Kebetulan mereka sahabat karib dan juga dari kampung yang sama.
Arwah datuk meninggal dunia, kalau tak silap Kjee, pada tahun 1972 atau awal 1973. Masa itu Kjee baru tamat persekolahan dan bekerja di Radio Television Malaysia, RTM.
Masih Kjee ingat lagi semua akhbar menyiarkan berita pemergiannya. Dan antaranya akhbar The New Straits Times..."Malaysia's Satay King Dies.."
Yes, he was the One And Only Satay King Of Malaysia!
|
Inilah sate yang dihasilkan oleh cucu Majid Satay
|
Kjee selalu beritahu Nadia dan Unclepali, sesiapa yang mengaku anak jati Kampung Baru tetapi tidak tahu siapa Majid Satay, maka dia bukan anak Kampung Baru!
Majid Sate berasal dari Alor Gajah, Melaka. Mula meniaga sate lewat 40-an dengan membawa kandar dari Melaka hingga ke Port Dickson. Lepas itu beliau berhijrah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di situlah dia melebarkan sayapnya.
Majid Sate cukup famous di Kuala Lumpur. Tanya sahaja mereka yang pernah menikmati sate yang dihasilkan oleh Majid Sate di Campbell Road dulu (sekarang Wilayah complex). Baik yang Cina, Melayu, India dan lain2. Semua akan kata, sate Majid tiada tandingannya dengan sate yang dihasilkan peniaga lain.
Tetapi ramai jugak tidak tahu bahawa arwah Majid juga antara usahawan Melayu pertama di Malaysia (Malaya ketika itu), yang menghantar anaknya belajar ke luar negara dengan perbelanjaan sendiri.
Kjee ingat lagi arwah Bonda bercerita, datuk begitu kecewa apabila memohon biasiswa persekutuan untuk menghantar anak sulongnya Mohd Salleh belajar di London. Permohonannya telah ditolak kerana kononnya mana mungkin anak seorang penjual sate boleh berjaya belajar di luar negara!
Dek kerana kecewa dengan penghinaan yang dilemparkan, datuk pun mengeluarkan belanja sendiri untuk menghantar anaknya belajar Mine Engineering di United Kingdom. Pak Long kembali beberapa tahun kemudian dengan segulung ijazah dalam bidang Engineering!
Jawatan terakhir arwah Pak Long Kjee, Datuk Mohd Salleh Majid ialah sebagai Chief Inspector of Mines Malaysia! Kini beliau sudahpun arwah.
Atuk pernah beritahu Kjee, untuk berjaya sebagai usahawan dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk, seseorang itu kena berkawan baik dengan semua orang tak kira bangsa mahupun keturunan. Arwah boleh bertutur dalam pelbagai bahasa tempatan. Seingat Kjee dia turut boleh bertutur beberapa dialek Cina.
Dan kalau dia pergi ke pasar Chow Kit, tak heranlah kalau sekejap dia berbahasa Hokkien, sekejap Kantonis, sekejap cakap India dengan penjual kacang putih dan sekejap lagi cakap bahasa Benggali dengan penjual roti berbangsa Sikh.
Walaupun cita2nya untuk membuka restoran di London tidak kesampaian, namun dia hanya hidup untuk melihat Restoran Majid Satay House di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur lewat 60-an dulu.
Setelah pemergiannya, anak2nya Harris dan Rahman (kini keduanya2 arwah) dan anak bongsunya Norhayati, telah membuka rangkaian restoran Sate Anika, bermula di Bukit Bintang Plaza. Kini, rangkaian Restoran Sate Anika sudah tidak wujud lagi.
|
Sepupu Kjee, Haji Zaini dan isterinya Hjh Chun |
|
Ini gerai sate Zaini di Ampang Jaya |
Bagaimanapun, cucu2 Majid Sate dari anak keduanya Allahyarhamah Salmah, masih giat menjalankan perniagaan sate. Antara mereka Zaini Sate di Ampang Jaya, Zatiar Sate di Taman Melati dan Zainah Sate di Kampung Datuk Keramat. Adanya sepupu2 Kjee ni meniaga, menyebabkan Kjee tak minat nak makan sate lain. Kecuali kalau dah terdesak sebab ada orang belanja. Hehehe.
Sebagai majikan, arwah datuk cukup disenangi. Pekerja2nya dianggap sebagai anak2nya sendiri. Hingga ke hari ini, walaupun datuk sudah lama tiada, namun hubungan Kjee dan pekerja2 arwah Datuk masih akrab. Walaupun ramai sudah tiada, tetapi kalau terserampak, kemesraan kami bagaikan adik beradik.
Kalau ada nak cuba resipi original Majid Satay, sila
klik sini.
Al fatihah buat HAJI ABDUL MAJID HUSSEIN.