Friday, May 31, 2013

UMNO - DULU, KINI DAN SELAMA2NYA!!






KUALA LUMPUR: Umno kekal sebagai parti pilihan rakyat berdasarkan pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini terbukti dengan kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU-12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

"Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan PAS)," kata Presiden Umno itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Jumaat.

Najib berkata prestasi Umno juga diukur berdasarkan kejayaannya merampas kembali Kedah dan Perak berserta bilangan undi yang diperolehi yang semakin bertambah.

"Mengikut kajian kita, lebih kurang 30 peratus peningkatan undi yang diberikan kepada Umno berbanding tahun 2008, katanya.

Justeru, Najib berkata Umno akan terus berjuang dengan memantapkan gerak kerjanya melalui beberapa penambahbaikan pentadbiran di peringkat ibu pejabat seperti dicadangkan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.

Beliau berkata antara penambahbaikan tersebut ialah mewujudkan beberapa bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan latihan, media sosial dan bidang penerangan.

Beliau berkata penyusunan semula tersebut perlu bagi memastikan usaha, mesej dan segala keputusan daripada Majlis Tertinggi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya khidmat tenaga profesional sepenuh masa dan berdedikasi akan digunakan untuk melaksanakan tugas dan arahan majlis itu.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman Najib mewujudkan pelbagai pengkhususan dalam memantapkan lagi parti itu akan menjadikan Umno lebih fokus untuk mendekati golongan muda.

"Ini merupakan tumpuan baharu parti kerana pada 2017 atau 2018 nanti (jika pilihan raya umum diadakan), dijangka hampir 2.5 juta pengundi muda, dan ini harus diberikan tumpuan bagi mendekati kumpulan berkenaan," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berpendapat pengwujudan pelbagai pengkhususan itu adalah cadangan yang tepat bagi memulakan usaha parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Kita pisahkan media sosial daripada penerangan, jadi kita akan memberi input untuk kaedah menjalankan kempen melalui media alternatif dengan lebih berkesan. Pemuda Umno akan menyumbang idea untuk memperkukuhkan bidang itu," katanya.- BERNAMA

1 comment:

  1. Sekarang kena fokus kpd anak muda.mereka ni mudah terikut ikut...suka mencuba cuba ....

    ReplyDelete