Sunday, June 30, 2013

RTM JANJI HIDANG 'JUADAH' LEBIH BAIK DARI TAHUN LEPAS




KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyajikan pelbagai program istimewa meliputi drama bersiri, dokumentari, masakan dan keagamaan sepanjang bulan Ramadan kali ini.

Pengarah Bahagian Program TV, Suhaimi Jamalim berkata program yang dipilih kali ini bukan sahaja untuk masyarakat Islam namun boleh ditonton secara umum dan pelbagai agama.

"Kita memberi program istimewa sepanjang Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun lalu.

"Kali ini bukan sahaja tertumpu kepada umat Islam yang menjalani ibadah Ramadan malah kebanyakan program bersifat umum merentasi etnik, bangsa dan agama," katanya pada sidang media majlis Tayangan Program Istimewa Ramadan, di sini, Jumaat.

Tambahnya, RTM turut mengekalkan rancangan tunggak yang disiarkan setiap kali Ramadan dengan pengisian lebih mantap.

"Kita akan siarkan rancangan tahunan seperti Syahadah yang kini masuk musim kelapan di mana kali ini kru Syahadah mengembara ke benua Eropah, Jerman dan Scotland bagi meninjau perkembangan saudara muslim di sana," katanya.

Selain itu, beberapa telefilem menarik menampilkan pelakon-pelakon terkenal akan disiarkan di slot Nurani seperti Masih Ada Waktu, Ramadan Jangan Ambil Nyawaku danReda Dan Pasrah akan disiarkan pada setiap Jumaat, manakala drama komedi sepertiCalon Menantu dan Sudah-Sudahlah akan disiarkan di Panggung Ahad.

Selain itu, program majalah masakan popular, Ketuk-Ketuk Ramadan yang memasuki musim keenam akan disiarkan pada setiap hari, pukul 12.30 tengah hari.

Tidak ketinggalan rancangan khas kanak-kanak seperti Ramadan Mat Jo, Kisah Adik-Adikku, Adik-Adikku Mengaji disiarkan sekitar 3 hingga 6 petang pada setiap hari.

0 comments:

Post a Comment