Saturday, September 14, 2013

UPDATE PENGAJIAN DI MESIR

Pelajar Tidak Mahu Kembali Ke Mesir Diminta Daftar Dengan Kementerian


BESUT: Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh meminta pelajar yang tidak mahu kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian mereka mendaftar dengan Majlis Pelajar Malaysia Mesir (MPMM) secepat mungkin.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan kementerian menempatkan mereka di di tempat belajar baharu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

"Tinjauan awal melalui perjumpaan dengan pelajar terbabit di Putrajaya semalam mendapati kira-kira 3,000 tidak mahu ke Mesir dan bersetuju meneruskan pengajian di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya kementerian sudah mengenal pasti IPTA yang bersedia menerima pelajar terbabit.

Pada masa yang sama, Idris berkata kerajaan tidak menghalang pelajar yang ingin kembali ke negara bergolak berkenaan bagi meneruskan pengajian mereka, terutama pelajar tahun akhir.

Idris sebelum itu merasmikan Majlis Profesor Bersama Komuniti yang disertai lebih 50 anggota Majlis Profesor Negara (MPN).

Mengulas majlis itu, beliau berharap MPN meneruskan program turun padang yang dilihat dapat memberi motivasi kepada masyarakat untuk memperbaiki taraf hidup.

Katanya program juga perlu diadakan lebih kerap serta diperluas.- BERNAMA

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Anak saya baru nak pergi, InsyaAllah dia akan pergi. Masa saya pergi Saudi dulu pun semua orang kata, nak mati ke?... kalau kita percaya kepada apa yang Allah dah tentukan, kita tak akan cakap macam itu kan?

    ReplyDelete