Thursday, March 27, 2014

AL FATIHAH JANTAN BIN OSMAN AKA ALI MAMAK





Semoga roh beliau diletakkan di sisi para solihin. Insya Allah. Amin. Arwah dipanggil mengadap Penciptanya lebih kurang jam 4 pagi Khamis kerana mengidap kanser tahap 2.

Sepanjang hari Kjee sibuk. Ini baru ada masa nak coretkan sedikit mengenai Abang Jantan Osman atau nama pentasnya Ali Mamak. Kjee kenali beliau ketika sama-sama berlakon dalam drama bersiri Santan Berlada terbitan RTM kira-kira 30 tahun yang lalu.

Kami semua menyapanya sebagai Abang Ali mengambil sempena wataknya dalam drama bersiri yang meletup ketika itu.

Abang Ali bukan keturunan Mamak tetapi anak kelahiran negeri Hang Tuah. Malah dia kata ramai yang menyangka dia mamak sebab warna kulitnya. Mungkin banyak berjemur ketika bekerja 'panjat tiang' katanya sambil berseloroh. Kerja panjat tiang yang dimaksudkan arwah ialah dia bertugas sebagai juruteknik Lembaga Letrik Negara (sekarang Tenaga Nasional Berhad).

Drama Santan Berlada adalah penampilan sulung beliau dalam industri seni tanahair. Kjee tak ingat bagaimana Abang Ali dipilih menjadi pelakon. Apa yang Kjee ingat, ramai pelakon baru diperkenalkan penerbit Hasiah Ariffin dalam Santan Berlada. Antara mereka termasuklah Os. Masa tu Kjee dalam lama berlakon.

Kjee ketika itu hanya muncul dalam satu episod sahaja drama tersebut sebagai pelakon undangan. Bagaimanapun, ketika Kjee membawa watak Monaliza dalam drama bersiri itu, penulis skripnya SA Takiyuddin turut hadir melihat rakaman di Sound Stage, Filem Negara Malaysia.

Sebaik sahaja tamat rakaman, Kak Hasiah dan Encik Takiyuddin panggil Kjee dan tanya samada Kjee minat nak jadi pelakon tetap drama itu. Kalau tidak silap Kjee, drama itu sudah berjalan sebanyak 4 episod sebelum tiba giliran Kjee berlakon sepenuh masa.








Maka Kjee pun berkenalan lah dengan insan-insan lawak yang first time berlakon termasuk Abang Ali Mamak. Masa itu kami menyapa satu sama lain dengan nama peranan masing2. Fauziah Nawi kami sapa Kak Ti, Pak Yeop Kidai, Os, Ghani Martopo dan sebagainya. Dan of course mereka menyapa Kjee, Monaliza.

Seingat Kjee, Abang Ali Mamak seorang insan yang cukup baik. Cukup peramah dan menganggap mereka yang muda sebagai adik dan yang tua sebagai kakak (Fauziah Nawi dan Pak Yeop Kidai). Tiada sisi yang kurang baik mengenainya yang boleh sesiapa jadikan dia musuh.

Beliau telah membawakan watak Ali Mamak dengan begitu baik sekali. Semua menyukainya dari kanak-kanak hingga orang dewasa. Dan hingga ke akhir hayat dia dikenali sebagai Ali Mamak.

Setelah tamat siri Santan Berlada, Abang Ali telah berhenti kerja kerana dia mula mendapat tempat sebagai pelawak. Kjee seringkali menemui beliau ketika menjalankan tugasan sebagai wartawan.

Kemudian apabila Kjee berhenti menjadi wartawan, kami sudah tidak bertemu lagi. Kjee hanya mengikuti perkembangan beliau menjadi penyanyi dan juga kejayaan demi kejayaan menempa nama sebagai pelawak.

Kali terakhir Kjee bertemu beliau semasa Majlis Hari Raya Artis-Artis Veteran (atau mungkinkah anjuran Seniman...). Ketika itu Kjee datang menaiki kerusi roda. Abang Ali mendekati Kjee dan bertanya khabar. Dia sedih lihat Kjee kini menaiki kerusi roda.

Tidak langsung terlintas di fikiran Kjee untuk bertanya kesihatan beliau memandangkan beliau nampak cukup sihat. Hanya beliau tidak benarkan Kjee memanggilnya Datuk. Kemudian Kjee terkejut melihat beliau muncul bersama Abon dalam rancangan Maharaja Lawak.

Itu sahajalah kenangan Kjee bersama Abang Ali. Kjee tidak kan lupa kenangan-kenangan manis dan nakal kami ketika berlakon Santan Berlada dulu. Biarlah menjadi rahsia kami yang pernah berlakon bersama-sama dulu. Dan jugak paling menyedihkan apabila tiada gambar untuk disimpan sebagai kenangan.

Allah swt lebih menyayanginya. Khabarnya, Abang Ali tidak lama sakit. Alhamdullilah. Moga keluarga Arwah tabah dengan ujian getir Allah swt. Dan moga rohnya diletakkan di sisi para solihin. Al Fatihah.

3 comments:

  1. Semoga beliau di tempatkan di kalangan orang yang beriman... Amin..!

    ReplyDelete
  2. Salam Kak je, maaf klau saya mencelah. bukan ke penampilan Abon yang kedua dalam Maharaja Lawak dengan pelawak Satiya?

    ReplyDelete
  3. Al-fatihah..semoga tenang di sana..amin

    ReplyDelete