Saturday, May 31, 2014
HOME MADE JERUK HALIA MUDA
Oleh kerana dah cari satu Malaya tak jumpa, akhirnya UnclePali senyap-senyap pergi beli halia muda, dan Chinese Rice Vinegar. Buat sendiri dia kata. Kjee tanya mana nak cari resipi? Dia senyum. Adalah. Jadi tak jadi nasiblah.
Ohhh dalam diam-diam dia pergi surf kat internet cari resipi.
Dan akhirnya jadilah Halia Muda Jeruk yang diidam-idamkan UnclePali. Kalau pergi Sushi Restaurant, dia sanggup habis bermangkuk-mangkuk halia jeruk. Agaknya setiap kali ke Sushi Zenmai, waitress nampak jer UnclePali, dia orang cepat-cepat sorokkan stok halia jeruk. Heheh.
Tapi Kjee nak bagitau satu rahsia. UnclePali sebenarnya tak suka halia! Kalau Kjee masak bubuh halia, muka dia boleh 'terpeleot'. Jadi, camner dia boleh suka halia jeruk?
"Dah jeruk sedap," kata UnclePali sambil senyum kambing.
UnclePali tak ikut resipi yang tepat untuk buat halia jeruk ni. Dia beli halia muda, cuci bersih kemudian lap dengan kain atau kitchen towels hingga kering. Lepas tu hiris nipis-nipis
Sediakan satu balang kaca yang bersih dan kering. UnclePali letakkan halia yang telah dihiris ke dalam balang. Kemudian dia jerang cuka atau Chinese Rice Vinegar bersama gula. Kjee tanya kenapa tak guna cuka biasa. "Resipi kata Chinese Rice Vinegar," jawab dia.
Sukatan cuka dengan gula tu kata UnclePali, ikut banyak mana halia. Mesti tutup halia tu bersama cuka dengan gula. Cuka tu dijerang dengan gula sampai gula cair. Padam api.
Bubuh garam dalam hirisan halia didalam balang kaca. UnclePali kata, garam mesti secukup rasa untuk stabilkan rasa cuka yang masam dan gula yang manis. In other words, korang pepandailah adjust sendiri.
Apabila halia sudah dibubuh garam, curahkan adunan cuka dan gula sehingga tutup diatas hirisan halia, Lepas tu sejukkan betul-betul sebelum ditutup dengan penutup botol atau balang. Simpan di luar peti ais selama satu atau dua hari. Selepas itu, boleh simpan dalam peti ais, kalau suka.
Oh ya, kalau nak tahu jadi ke tidak, warna cuka dan halia itu akan menjadi pink.
Mengikut resipi, halia jeruk hanya boleh makan seminggu selepas dibuat. Tapi UnclePali tak sabar. Hari ketiga dia dah bedal. Dia makan begitu sahaja sehingga Kjee ingatkan dia supaya beli Century Eggs.
Century Eggs boleh dibeli di supermarket. Ada dua jenis iaitu telor ayam dan telor itik. Kjee lebih suka telor itik. Texturenya lebih lembut dari telor ayam.
Selain makan dengan Century Eggs, Kjee tak tau Halia Jeruk ni sedap dimakan dengan apa. Ratah begitu sahaja pun sedap. Tunggulah nanti angin keluar berlumba-lumba. Hehehe.
Friday, May 30, 2014
SAGU GULA MELAKA
Alangkah bahagia apabila tekak dah teringin, selongkar pantry jumpa pulak yang dihajati. Begitulah yang terjadi tadi. Kjee tak ingat bila last Kjee beli sagu biji. Tadi suruh UnclePali tolong cari kat kabinet pantry. Taraa adalah cukup-cukup satu cup!
Jadilah kan. Dapatlah 5 bekas tadi. Kjee akan makan dua, UnclePali dua dan Nadia makan satu.
Ramai tanya Kjee kenapa dia orang buat Sagu Gula Melaka tak dapat texture yang sedap macam makan kat hotel. Hah kat hotel jer sedap ker? Or kat hotel plating dia orang cantik, itu yang nampak sedap. Wallahualam.
Anyway, dulu Kjee pun tak reti nak buat. Pernah makan kat rumah Datuk Khadijah Ibrahim satu ketika dulu. Pandai sangat dia buat. Tapi Kjee ni pemalu sikit nak mintak resipi.
Satu hari tu, ada kawan Kjee tanya macam mana sukatan air kalau nak dapat Sagu Gula Melaka yang lembut. Dia kata dia selalu buat satu mangkuk sagu, 2 atau 3 mangkuk air. Kjee pun cubalah buat. Ikut sukatan yang dia beri, memang tak berapa lembut. Dalam hati terfikir, kalau ditambah satu lagi mangkuk air mungkin ngam.
Kemudian Kjee pun cuba. Kjee rendam dulu satu mangkuk sagu selama 20 minit. Lepas tu, Kjee didihkan empat mangkuk air. Masa nak tunggu air mendidih, Kjee tos kering sagu yang direndam. Masa rendam tu kalau nak bubuh pewarna, bolehlah. Kjee guna pewarna pink.
Sebaik air mendidih, terus tuangkan sagu yang telah direndam tu dan kacau pantas-pantas. Masa ini api dah diperlahankan. Kacau sehingga tiada lagi nampak kesan 'mata ikan' pada sagu. Dalam 10 minit. Apabila dah elok, matikan api dan tuang dalam bekas yang berkenan di hati. Sejukkan selama beberapa jam. Kalau chilled dalam peti ais lagi sedap.
Ada orang guna santan tapi Kjee lebih suka curahkan susu cair (evaporated milk) dan jugak gula Melaka yang telah dijadikan sirap.
Selamat mencuba.
Thursday, May 29, 2014
TAUFOO LEMBUT KUKUS BERINTI AYAM DAN CENDAWAN
Ini kali pertama Kjee buat Taufoo lembut yang dalam kotak tu, kukus kemudian dibubuh inti. Idea datang masa Kjee bukak pantry dan jumpa cendawan shitake kering. Bukak freezer pulak nampak isi ayam yang telah dicincang.
Kjee sebenarnya rancang nak kukus jer taufoo lembut tu. Hari tu Kjee pergi restoran Cina Muslim Mohd Chan dan ternampak dalam menu. Taufoo kukus curah kicap dan daun bawang jer harganya RM9.50 sepinggan!! Adoiii mahal bagi Kjee sebab satu kotak tahu lembut tu harganya 95 sen sahaja di Hero Market!
Kjee kemudian dapat idea nak cantumkan taufoo lembut itu dengan lauk ayam yang ditumis dengan cendawan shitake dan carrot. Terus Kjee rendam 4 biji cendawan Shitake dalam air panas. Apabila dah lembut sikit, Kjee dadu kecik-kecik dan rendam lagi selama kira-kira sejam. Dah lembut, toskan airnya.
Kjee cincang halus dua ulas bawang putih dan mayang satu inci halia muda. Tumis guna sedikit minyak jagung. Apabila sudah wangi, masukkan ayam cincang dan carrot yang juga telah dimayang halus memanjang. Apabila ayam sudah bertukar warna, masukkan cendawan.
Kacau hingga rata. Kemudian masukkan kira-kira satu sudu sos Hoisin dan kira-kira satu sudu besar minyak bijan. Kalau tak ada, sos tiram pun boleh. Kacau hingga rata. Kemudian masukkan daun bawang yang telah dihiris. Simpan sedikit daun bawang untuk hiasan.
Sediakan kukusan dan tunggu sehinggakan airnya sudah mendidih. Kukus taufoo lembut. Hati-hati keluarkan dari kotaknya. Kukus lebih kurang lima minit. Kukus siap-siap dalam pingan yang hendak dihidang. Jika tidak muat kukusan, bolehlah kukus dalam sebarang bekas. Tapi nak mengalihkan nanti, perlu hati-hati kerana ia terlalu lembut.
Lauk inti ayam tadi diletak dalam pinggan. Kemudian angkat perlahan-lahan taufoo dan letak atas inti ayam di dalam pinggan. Curah sedikit kicap manis atas tahu. Kemudian ambil sedikit inti dan letak atas taufoo.Taburkan dengan sedikit daun bawang hiris yang telah dicampur dengan cili mereka yang didadu kecik-kecik.
Boleh jugak buat guna udang hidup. Sedap jugak makan dengan bubur nasi.
Resipi taufoo kukus biasa di SINI.
Wednesday, May 28, 2014
NOTA BUAT FELIXIA YEAP
Felixia Yeap - foto ehsan Google |
Salam Adik Felixia,
First time Kjee tengok Adik Felixia, Kjee geleng kepala. Dalam hati ada buruk sangka...budak ni sengaja nak mempermainkan perasaan orang Melayu. Nak persendakan pengunaan hijab.
Belum pernah rasanya terjadi dalam sejarah negara, seorang wanita bukan Islam, melakukannya dalam kehidupan sebenar. Hanya ada berlaku sekali sekala dalam drama yang dipaparkan di kaca TV.
Kjee tunggu dan ikut perkembangan Adik Felixia dari jauh. Perhatikan sahaja. Kemudian apabila keluar berita Adik Felixia belum bersedia pergi lebih jauh dalam Islam selain memakai hijab, hati Kjee sudah tawar untuk terus follow.
Beberapa hari lalu, Kjee dikejutkan dengan berita Adik Felixia telah merancang mengucap dua kalimah syahadah di bulan Ramadhan yang mulia yang bakal menjelang. Syukur Alhamdullilah... rupa-rupanya jalan yang Adik Felixia pilih, bukan seperti yang Kjee mahupun orang lain jangkakan!
Malu Kjee bukan kepalang menonton sebuah drama dimana awak berhijab penuh (walaupun adegan dalam rumah) sedangkan ada pelakon wanita yang digandingkan bersama, lain penampilan mereka.
Cukup ayu dan sejuk mata memandang Adik Felixia di majlis ABPBH. Cukup sopan, begitu tersusun langkah. Ini rupa-rupanya jalan yang Adik Felixia cari selama ini setelah puas melalui pelbagai liku dan ranjau dalam hidup.
Pagi tadi Kjee sebak melihat nukilan Adik Felixia dalam Facebook yang sepantas kilat dikongsi ramai pemegang akaun FB yang lain.
Ada insan-insan hina yang telah berusaha mencari gambar-gambar Adik Felixia di zaman silamnya. Dan menyebarkannya di internet. Seolah-olah hanya Adik Felixia sahaja ada zaman gelap seperti itu. Seolah-olah tiada anak gadis Melayu yang berkelakuan lebih buruk hingga ke saat ini!
Adik Felixia tidak melatah. Cara dia menyusun kata-kata pasti meruntun jiwa ramai yang membacanya. Dia telah dicaci, dihina, dicarut dan difitnah ekoran penghijrahan yang dilakukan secara perlahan-lahan. Segala perilaku silamnya dibongkar! Bukan oleh bangsa asalnya tetapi orang Melayu yang menganut agama Islam sejak dari azali.
"Tunggulah nanti bila saya sudah mengucap dua kalimah syahadah...saya akan doakan yg terbaik untuk insan-insan ini. Nyata sekali Islam itu bukan Melayu dan Melayu itu bukan Islam!"
Tak sabar rasanya Kjee hendak sama-sama menyaksikan Adik Felixia mengucap dua kalimah syahadat. Sesungguhnya Adik telah memilih jalan yang benar. Jalan yang bakal memberi Adik ketenangan sepanjang hayat, Insya Allah.
Dan mudah-mudahan Adik Felixia dapat membawa bersama-sama teman-teman seperjuangan yang masih belum nampak arah yang Adik tuju.
Kjee menyusun 10 jari memohon ampun kerana pernah menyimpan sangka buruk terhadap Adik Felixia sebelum ini. Kjee mendoakan segala yang terbaik buat mu. Moga perjalanan Adik selepas ini dipermudahkan Allah swt. Insya Allah, Ameen.
Monday, May 26, 2014
KALAU DAH TEKAK JAWA...TEMPE TU WAJIPPPP
Jangan percaya saiz udang tu. UnclePali close up sebab tu nampak gedabak! |
Bab tempe ni, Kjee ada konfius sikit. Ada orang kata orang Indon tak makan tempe. Cuma Jawa Malaysia saja yang suka sangat. Ibarat keju dengan Mat Salleh.
Ntahlah. Kjee tak pernah pergi Indonesia dan tak pernah buat kajian samada betul ke tidak hanya Jawa Malaysia saja yang suka makan tempe. Eh Jawa Singapura sekali tau. Kalau tidak takkan lah ada Pak Mat Tempe dalam filem P Ramlee yang dibuat di Singapura dulu kan?
Kjee tak tahu nak bagi nama apa kepada lauk ini. Arwah Bonda panggil sambal goreng. Tapi ada jugak yang mengelarnya Lodeh Kering. Kekadang Kjee panggil dia Sambal Goreng Sayur.
Apapun namanya, Lodeh kering ini suatu hidangan yang wajipp (sorry Che Ta), dihidangkan di pagi Raya. Tapi kat rumah Kjee, tak payah tunggu Raya nak hidangkan Lodeh ni.
Kalau buat lauk ni, Kjee tak reti nak buat sikit-sikit. Mesti buat satu kuali besar. Pastu Kjee akan bahagi-bahagikan dalam bekas-bekas kecik dan simpan dalam freezer. Nak makan panaskan. Jugak hidangan kesukaan Kjee dan Nadia waktu tengok TV. Ratah gitu jer.
Well, kalau dah tekak Jawa, kannn.
Tapi UnclePali tak berapa berkenan. Dia kata tempe makanan Jawa Totok. Kalau korang nak tahu, perkataan totok tu makna Jawa Piau (Pure). Tapi sedih jugak apabila ramai yang menghina orang Jawa dengan memanggil mereka Jawa Totok! Tak baik salah guna perkataan tu. Sekali aku lesing kang! Hehehe.
Resipi korang tengok SINI. Ini versi Kjee. Tak tau piau Jawa ke tidak sebab aku Jawa American...yang tak tahu atau faham speaking Jawa. Opppps.
Kalau Arwah Bonda, dia letak hati ayam, pedal dan juga isi ayam. Sedap tau makan dengan nasi, nasi impit ataupun buat lauk Nasi Ambeng. Makan dengan lemang pun sodap!!
Saturday, May 24, 2014
KASTAD TELOR SIRAP GULA MELAKA
Dah lama tak buat Kastad Telor. Tak ingat bila last Kjee buat. Dan pagi semalam tetiba teringat nak buat. Bukan nak makan sangat tapi dapat jamah sikit pun ok.
Ramai yang ingat bila Kjee masak dan post entri kat blog, Kjee makan tak hengat dunia. Actually tak. Sebab utama ialah Kjee nak share something dengan korang. Kekadang lepas masak, kalau tinggal sekeping dua, simpan dalam fridge sebab tak ada sapa nak makan. Lepas tu jadi habuan Cik Tong.
Back to Kastad Telor. Ini versi Kjee. Kjee modified atau adjust dari Kastad Karamel sebab Kjee tak suka rasa gula hangus yang pahit tu. Jadi, gula hangus tu Kjee ganti dengan sirap pekat yang dimasak dari gula Melaka campur air. Kalau dapat gula Melaka ori, rasanya lemak manis.
Tapi manalah nak dapat gula Melaka ori sekarang ni. Ramai lanun dah buat gula Melaka cetak rompak. Arwah mak ajar, kalau nak bezakan antara ori ke tidak, cubit sikit gula tu dan rasa. Kalau gula ori, kita cubit ia akan senang rapuh. Gula Melaka tak ori, susah nak cubit kerana ia keras. Rasanya manis sangat dan tak lemak. Telah dicampur banyak gula pasir. Wallahualam.
Anyway, pagi tadi Kjee buat Kastad telor ni dan siap beri ingatan kepada frens FB, api jangan terlalu besar. Nanti akan rosak texture kastad. Biarkan air mendidih, pastu pelankan api baru masukkan bekas kastad telor itu ke dalam kukusan.
Oklah kan. Selepas masukkan batch pertama ramekin yang mengandungi adunan kastad telor tadi, Kjee pun ke depan layan FB. Layan punya layan lebih 20 minit baru teringat pasal kastad telor dalam kukusan. Tapi taklah bimbang sebab dah kecikkan api tahap paling rendah, agaknya.
Terus ke dapur sebab Kjee rasa dah lama sangat Kjee dekat komputer.
Inilah rupa kastad telor terlebih masa kukus! Rasanya kureng sedap. |
Yang ni ok. Rasanya pun sedap. |
Waduhhhhh! Bukak jer tudung kukusan, mata Kjee terbeliak. Kastad telor Kjee dah jadi macam permukaan bulan purnama!! Dah terlebih masa mengukus dan apinya tak lah kecik sangat rupanya! Mujur ada batch kedua yang belum kukus. Kali ni Kjee hati-hati. Set api paling low dan tak sampai 15 min dah cantik set.
Kjee hanya curahkan sirap gula Melaka itu, apabila hendak hidang. Kalau korang nak buat stail lama iaitu diletak sedikit sirap gula melaka baru dituangkan adunan telor, pun boleh. Tak ada masalah sebab kita yang buat dia, kita yang nak makan.
Resipi korang intai SINI.
Oh ya lupa nak bagitau. Kalau korang guna kukusan bukan kukusan buluh, elok dialaskan penutup dengan kain muslin atau apa jua kain yang bersih. Kjee guna kukusan buluh. Tak perlu alas apa-apa.
Friday, May 23, 2014
LAUK CARA KAMPUNG AJE ARI NI
Kalau kat kampung, tak heranlah tengok lauk camni kan? Pucuk ubi masak lemak cili padi ngan daging salai, ikan pekasam, petai jeruk ngan sambal belacan dan ayam goreng.
Tapi kalau duduk jauh dari kampung, kecur air liur. Terutama sekali orang Utara yang susah nak berenggang dengan ikan pekasam.
Ini sahajalah rezeki kami suami isteri hari ni. UnclePali memang tak suka Kjee susah payah nak masak pada hari Jumaat. Dia kan nak gi solat Jumaat. Jadi tak sempat nak tolong Kjee masak.
Tapi Kjee ni jenis yang kalau dah tekak teringin, nak jugak ke dapur walaupun buat kerja dua kali lebih lambat dari orang biasa.
Walaupun semalam Kjee tak berapa sihat, tapi Kjee gagahkan diri masak sebab malas nak makan kat kedai. Satu hal nak bersiap, satu hal nak pergi cari kedai yang kena dengan selera dan satu hal lak nak balik lepas kenyang. Banyak lah punya hal.
Tadi masa UnclePali bukak freezer cari ayam sebab Kjee nak goreng ayam, dia terjumpa satu peket daging salai yang Kjee beli dari Zamri Salai Kuala Pilah. Sedap kalau buat masak lemak cili padi dengan pucuk ubi. Nasib baik UnclePali ada tanam pucuk ubi depan rumah.
So jadilah lauk kami hari beserta ikan pekasam yang Kjee beli kat Dwan wartawan Harian Metro. Ikan pekasam dia sedap sangat. MIL Kjee kata orang Changlun, Kedah, memang pakar buat pekasam. Korang nak cuba, add dia kat FB Dwan Inzaghi.
Selain itu, kat dalam fridge memang sentiasa ada stok petai jeruk yang Kjee buat sendiri. So kalau nak makan petai jeruk mesti ada lawan dia iaitu sambal belacan UnclePali yang power.
Itu jer Kjee nak story arini. Nak ke dapur buat pies dan samosa untuk order esok.
Kjee goreng begitu jer ikan pekasam. Cara lain UnclePali tak suka |
Thursday, May 22, 2014
MINGGU DEPAN FINAL KILAUAN EMAS 4
Zain, Arip, Nas, Nordin dan Ben. Gambar ehsan mStar Online. |
Mengapa cepat sangat Kilauan Emas Musim ke-4 berakhir? Rasanya macam baru sahaja Kjee tengok makcik-makcik dan pakcik-pakcik berseronok-seronok masa audition atau uji bakat rancangan itu yang diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara.
Masa tu kami sekeluarga geli hati sangat tengok audition tu. Seronok tengok gelagat ramai yang bagai lupa mereka sebenarnya sudah warga emas. Lalu sahaja kamera depan mereka (di ruang legar luar tempat diadakan audition), kita boleh saksikan insan-insan emas ini bersorak-sorak dan melambai-lambai.
Banyak kali Kjee malu nak tengok. Apatah lagi apabila anak kata: "Apa agaknya anak cucu dia orang tu rasa bila tengok mak/bapak atau datok/nenek berkelakuan macam itu? Sanggup beratur dari subuh ke lewat malam semata-mata nak pergi audition!"
Tapi apabila tiba peringkat sebenar konsert, barulah kita dapat tengok bakat yang benar-benar tulen. Bakat yang boleh buat ramai penyanyi baru dan muda, malu sendiri.
Kjee suka sangat tengok juri Dato Ramli MS dan Dato Hattan ketika memberi komen. Telus dan tidak bermuka-muka.
Dan untuk konsert separuh akhir tadi, Nas menitiskan airmata apabila Dato Ramli berkata, dia peserta yang 'unpredictable'. Maknanya sukar untuk 'baca' apa yang bakal diberikannya ketika membuat persembahan.
Nas jugak seringkali mendapat pujian yang amat bagus dari Dato Hattan. Antara komen Hattan yang Kjee tidak dapat lupa: "Kau ni pernah ke buat album?" Nas geleng. "Kenapa lambat sangat kau nak menyanyi...Alahai!"
Cukup dalam maknanya itu.
Nas pasti akan memberi saingan hebat kepada perserta final lain seperti Arip, Ben, Nordin dan juga Zain. Mujurlah juri profesyenal mempunyai kuasa besar memilih Juara nanti. Mereka menguasai 70% dari undian. Kalau dibiarkan kuasa dipegang oleh penghantar sms, maka rancangan ini akan menjadi macam rancangan realiti lain yang dianjurkan Astro.
Kecewa lagi kita semua untuk melihat seorang peserta wanita muncul sebagai Juara. Nak buat macam mana. Bila dah tiba usia emas, ramai ibu-ibu dah tak cukup stamina. Yang penyanyi veteran macam Uji Rashid pun boleh semput, apa nak dikato.
Tak sabar nak tunggu final minggu depan. Kjee dah ada Juara pilihan. Kita tengok tepat tak ramalan Kjee seperti yang Kjee telah lakukan sejak bermula Kilauan Emas 4.
Sebenarnya dah boleh baca dari minggu pertama lagi siapa yang akan masuk final. Ramalanku tepat belaka. Hehehe.
Wednesday, May 21, 2014
PULUT MANGGA MANIS DENGAN SOS SANTAN
Musim mangga manis melanda. Sana sini orang jual mangga manis. Murah-murah pulak tu! Minggu lepas Nadia beli RM10 untuk 3 kilo di Taman Melawati. Hari ni UnclePali beli, dapat 4 kilo for RM10!!
Sejak minggu lepas lagi Kjee nak buat Pulut Mangga ala Thai tapi tak kesampaian. So today, menilau juga mata Kjee mencari lori orang jual mangga. Akhirnya dapat!!!
Kali ini rasa mangga yang UnclePali beli taklah semanis yang Nadia beli. Ada rasa masam-masam manis, which I like. Mangga yang Nadia beli, manis menyengat!!
So apa lagi, sampai rumah Kjee tanak pulut dalam rice cooker. Kupas dua biji untuk Kjee dan UnclePali makan sebelum pulut siap tanak. Lepas tu bila pulut siap tanak, barulah mintak UnclePali amik gambar.
Tengah amik gambar, tiba-tiba bunyi guruh yang kuat. Nasib baik tak terpelanting kamera.
Semasa pulut tengah tanak tadi, Kjee buat sos santan. Kjee guna 1 kotak kecik santan. Rasanya tak cukup sebab Kjee masak pulut dekat satu periuk kecik (rice cooker). Tak apa, boleh buat lagi sos kejap lagi.
Nak resipi korang intai SINI. Kjee nak makan my sticky rice with mango. Hehehe.
Monday, May 19, 2014
TEMPAHAN UNTUK COOKIES ITA'S DELIGHT SUDAH DIBUKA
Biskut Ita's Delight di pack begini |
Hari ni dah 19 hb bulan Rejab. Pastu bulan Syaaban dan disusuli bulan Ramadhan. Rata-rata Kjee tengok ramai peniaga kuih Raya sudah sibuk war-warkan kat blog dan FB mengenai biskut Raya yang bakal mereka jual. Malah ramai dah keluarkan sampel biskut.
Tahun lepas Kjee tolong sahabat Kjee, Rozita Kader jual cookies Raya dibawah jenama Zielicious dibawah syarikat Ita's Delight. Sambutan yang Kjee terima tahun lepas amat-amat memuaskan. Terima kasih semua.
Kjee sebenarnya nak cuba-cuba jer atau main-main jual cookies Ita masa itu. Kjee beritahu UnclePali, dapat jual 100 pek dah syukur Alhamdullilah. Tapi rasa-rasanya Kjee berjaya jual lebih 500 bekas!
Kjee rasa mereka yang membeli cookies Ita's Delight ini tahun lepas boleh memberi testimoni, sedap atau tidak cookies ini. Kjee telah rasa dulu setiap cookie yang Rozita tawarkan sebelum Kjee menjualnya. Alhamdullilah semuanya menepati citarasa Kjee.
Rozita tak buat cookie macam yang dijual kat Chow Kit tu. Doh sama tetapi mereka hanya pelbagaikan warna dan rupa! Setiap cookie Ita's Delight ada rasa yang tersendiri!
Tahun ini Rozita tambah lagi 7 hingga 8 jenis cookies baru. Semuanya berjumlah 25 jenis! Setiap jenis di pek cermat dan ada dalam 42 hingga 52 keping setiap pek. Cookies Rozita bukan sahaja boleh kita beli untuk jamu tetamu di musim Raya tapi boleh jugak buat hadiah atau dimasukkan ke dalam hamper.
Kjee akan menerima tempahan dari sekarang. Hari terakhir untuk tempahan ialah 7 hari sebelum bermulanya bulan Puasa. Boleh amik tempahan anda seminggu sebelum Hari Raya.
Kjee akan tetapkan pick-up point di tiga atau empat kawasan yang akan diberitahu kelak. Jika minat, sila sms 0126780501 untuk mengetahui lebih lanjut.
Hanya Tart Nenas dan Tart Blue Berry sahaja RM28 satu pek. Yang lain RM26. Terima kasih.
TERKINI: PICK UP POINT
PUTRAJAYA, PETALING JAYA (DEKAT AMCORP MALL), SELAYANG (DEKAT NSK), KAMPUNG BARU, WANGSA MAJU DAN TAMAN MELAWATI.
MAAF TAK ADA KHIDMAT POS. HANCUR BISKUT.
KALAU ADA KENGKAWAN TINGGAL KL BOLEH KIRIM DENGAN DIA KALAU DIA BALIK KAMPUNG ANDA RAYA NANTI.
Tarts Blue Berry dan nenas sahaja RM28. Yang lain RM26. |