Sunday, December 14, 2014

KUIH TALAM KELADI BERLAUK SETELAH GAGAL FIRST TIME







Kjee tak akan mengaku diriku ini anak Jawa kalau tidak memiliki kerajinan seorang wanita Jawa! Memang orang Jawa terkenal sifat-sifat kerajinannya. Justru, kalau ada tuan rumah mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah, dia akan interview dan tanya "Kamu ni orang Jawa?".

Ewah. Apa kaitan entri ini dengan wanita Jawa? Langsung tak ada kaitan. Kjee sebenarnya tak sihat. Dah banyak hari tak sihat. Selalunya, orang lain, kalau tak sihat, tentu tarik selimut dan rehat.

Tapi Kjee ni jenis tak reti nak duduk diam. Masa rajin menulis skrip dulu, dalam tidur pun boleh dapat ilham. Begitu jugak kalau Kjee ada cuba buat sesuatu dan gagal mencapai kesempurnaan. Mesti cuba dan cuba lagi walaupun dalam keadaan diri yang kurang sempurna.

Mukaddimah panjang sangat sedangkan Kjee nak cerita pasal kegagalan Kjee buat Kuih Talam Keladi Berlauk hari tu. Hehehe serius ni. Kuih Talam Berlauk adalah antara makanan yang sangat Kjee gemari. Tapi sekarang susah nak dapat yang sedap.








Setelah keluar kukusan




Nak buat sendiri tak reti walaupun bukanlah payah sangat pun. Cik Google sedia ada untuk bantu. Tapi dalam pilih punya pilih resipi dalam internet, akhirnya tersalah pilih.

Kuih Talam Berlauk Kjee jadi lembik. Memang dah terdetik jauh di sudut hati akan terjadi lembik sebab cecair yang terdapat dalam resipi tu, macam tak lojik jer. Anyway, habis jugak Kjee bedal walaupun lembik. Yang penting, sedap. Hehehe.

So, semalam walaupun tak berapa sihat, Kjee gagahkan diri dan ajak UnclePali tolong sama buat Kuih Talam Keladi Berlauk.

Kjee intai blog Spices Journey. Shiela ada buat Talam Berlauk tetapi bukan Talam Keladi Berlauk. Tapi dia beritahu Kjee, method sama jer. Cuma tambah keladi. Oh ya ker?

Okay. Kjee pun adjust sana sini. Kjee buat lauknya dulu. Kjee guna udang putih halus dalam satu mangkuk kecik. Buang kulit dan bersihkan. Rendam segenggam udang kering. Kemudian tos kering. Hiris 4 biji bawang merah, cincang 3 biji cili merah dan hiris lebih kurang setengah mangkuk daun bawang.







Ini yg buat first time. Lembik tak boleh potong



Kjee tumis hirisan bawang merah. Apabila layu, Kjee masukkan udang kering. Goreng sampai garing. Kemudian masukkan udang basah. Apabila udang sudah hampir masak, bubuhlah perasa. Garam serta lada sulah. Kemudian masukkan cili dan daun bawang. Sejukkan. Ini lauknya.

Untuk lapisan bawah, panaskan kukusan. Kjee kukus satu mangkuk keladi yang telah didadu, sampai lembut tapi bukan lembik. Tepikan. Kemudian Kjee bancuh dua cawan tepung gandum dan 1 cawan tepung beras bersama satu kotak santan (200ml) dan empat cawan air. Bancuh guna whisk dan tapis.

Kjee guna loyang 22cm. Kjee sapu sedikit minyak pada loyang. Kemudian Kjee tuangkan kira-kira dua inci adunan tepung dan kukus selama lebih kurang 5 minit. Keluarkan dan susun keladi dadu kukus ke atas adunan tepung tadi yang sudah mula mengeras. Kemudian tuangkan baki adunan diatas keladi tadi. Masuk kembali ke dalam kukusan dan kukus selama lebih kurang 5 minit. Ketika bahagian atas tu masih basah, keluarkan loyang dan taburkan lauk tadi sama rata atas permukaan loyang. Kemudian taburkan jugak bawang goreng.

Kukus lagi dalam masa 15 minit. Padam api. Keluarkan dari kukusan dan sejukkan. Dah sejuk betul-betul baru potong-potong.

Makan dengan sos cili. Kalau rajin dan pandai, buatlah sos cili sendiri. Tapi Kjee lebih suka sos cili Linghams. Selain itu, boleh jugak makan dengan sos taucu yang digunakan untuk Yong Tow Foo. Walaupun reti buat tapi Kjee ambil jalan mudah. Pergi jer pasar malam, beli YTF. Mintak sos lebih atau beli jer seringgit dua. Hokey? Hehehe.

Kalau nak resipi sos tu KLIK SINI. Sos ni sangat versatile. Boleh buat buntuk Sotong Kangkung, Tahu Bakar dan juga YTF.. . well of course boleh jugak untuk Talam Keladi Berlauk.











0 comments:

Post a Comment