Masa Kjee kecik-kecik dulu, kami pernah tinggal di Jalan Cochrane, Cheras. Kalau bapak dapat gaji, dia akan bawak kami ke satu restoran Cina Hailam di Jalan Peel. Kami akan menikmati Bifstik Hailam. Memang setiap kali bapak dapat gaji, kami akan tuntut bapak bawak kami kesana.
Tadi, selepas masak Bifstik Daging resipi Chef Nor Zailina, Kjee mengimbau kembali zaman kanak-kanak itu. Rasa Bifstik Hailam tu, sikit lebih kurang macam yang Kjee buat ni. Dan ketika itu, turut dihidangkan sama, roti benggali bakar.
Kjee tak silap eja. Memang ia harus dieja bifstik dan bukan Beef Steak. Walaupun bunyinya sama tetapi rasanya berbeza. Dan Kjee tak nak diketawakan orang apabila Kjee kata ini Beef Steak. Hehehe.
Bagi Kjee, cara memasaknya ala-ala Beef Stew. Daging diperap seketika dengan tepung, digoreng guna butter/campur minyak. Dan kemudian direndidih hingga masak dan pekat.
Kalau korang pernah makan Bistif Daging ala-ala Telor Bungkus kat gerai-gerai orang Kelantan/Siam, korang akan kenal bifstik ini. Makanan yang sama, cuma daging Bifstik atau Telor Bungkus tu, menggunakan daging cincang atau minced meat.
Mudah sahaja nak masak lauk ini. Tetapi harus guna daging batang pinang kalau hendak masak dengan cepat. Kalau daging biasa, kena masak lebih lama lagi sehingga lembut.
Kjee ikut resipi asal Chef Nor Zailina tetapi Kjee tambah carrot. Kjee dadu bawang dan bawang putih.
Di bawah resipi Bifstik Chef Nor Zailina. Terima Kasih Lin. I Like.
Enak dimakan dengan roti bakar.
BISTIK DAGING
500g daging batang pinang* (daging batang pinang jangan dimasak lama kerana ia mudah empuk), dikiub 2cm
400g ubi kentang, direbus & dikiub 2cm
4 sbsr tepung gandum
2 sbsr mentega
3 sbsr minyak
1 steh serbuk lada hitam
sedikit kacang pis
Garam, gula secukup rasa
Bahan Kuah
150-200ml air
120ml sos tomato
2 sbsr pes cili (boleh kurangkan)
1 sbsr puri tomato
1 kiub stok daging (jika suka)
Bahan Kisar
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1. Bersihkan daging, lap kering dengan kitchen towel. Gaul dengan tepung, serbuk lada hitam dan garam. Perap 30min.
2. Panaskan mentega dan minyak, goreng daging sebentar. Bila keperangan, angkat.
3. Tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan daging, kentang dan bahan kuah, kacau dan masak sebentar. Tambah garam dan gula secukup rasa. Taburkan kacang pis semasa dihidangkan.
*Jika gunakan daging bahagian paha depan (chuck), hendaklah dimasak lebih lama untuk mengempukkannya. Jadi, air perlu ditambah supaya kuah tidak kering.
0 comments:
Post a Comment