Wednesday, December 2, 2015
MUMMY MARIANI SELAMAT BERSEMADI. AL FATIHAH
KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail, 82, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini bersebelahan pusara adiknya Saloma kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu.
Jenazah sebelum itu telah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Jalan Sentul pada pukul 10 pagi.
Sejak pukul 7 pagi, rakan- rakan artis sudah pun menunggu di masjid untuk memberi penghormatan terakhir.
Antara yang kelihatan ialah Datuk Seri Shah Rezza, Ebby Yus, Lydiawati, Datin Nina Juren, Zaiton Sameon, Afdlin Shauki, Datin Seri Umie Aida, Uwei, Hail Amir, Uji Rashid, A Samad Said, Noor Kumalasari dan Rosnah Mat Aris.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada seniwati itu ialah Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr.Rais Yatim dan isterinya Puan Sri Masnah Rais.
Allahyarhamah meninggal dunia pada pukul 7.32 malam Selasa akibat kanser usus yang dialami sejak setahun lalu.
Sementara itu, Melissa memberitahu rasa syukur kerana segala urusan pengebumian ibunya diselesaikan dengan lancar.
"Alhamdulillah, semua dah selesai. Terima kasih kepada semua kerana mengambil berat tentang arwah ibu.
"Mummy memang disahkan menghidap kanser usus sejak setahun lalu tetapi dia tak mahu dedahkan kepada orang ramai.
"Dia tak mahu orang bersedih kerananya. Semalam (Isnin), pada pukul 6 pagi di rumah, mummy sudah mula koma. Masa itu saya hubungi adik beradik saya di Singapura untuk pulang.
"Syukur mummy sempat berjumpa dengan anak-anaknya dan dia meninggal di rumah kakak (Siti Haslinda Abdul Hamid) di Sentul," katanya kepada mStar Online.
Kakak kepada biduanita Puan Sri Saloma itu dilahirkan pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar, Singapura.
Mariani adalah antara Seniwati terkenal dan berjaya ketika zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas di Singapura.
Sepanjang kariernya yang bermula pada tahun 1952 sehingga kini Mariani pernah membintangi ratusan filem dan drama seperti Istana Impian, Kembali Seorang, Labu Labi, Nasib Labu-Labi, Tiga Abdul dan Masam-Masam Manis.
Mariani meninggalkan 13 orang anak, 30 cucu dan lapan cicit. - mStar Online
Takziah pada keluarga Allahyarham.Hilang sebutir lagi bintang yang tiada gantinya.
ReplyDeleteAl Fatihah. .Takziah untuk keluar allahyarham
ReplyDelete