Tuesday, March 28, 2017

MENGIMBAU KENANGAN DENGAN SRIKAYA





       Masa kecil dulu, tiap petang kami tiga beradik (yang keempat masih dalam buaian), akan tunggu depan rumah. Tunggu Bengali jual roti. Dari jauh dia sudah bunyi loceng pada basikal tuanya. Tong aluminium usang yang diikat pada basikalnya, sarat barat dengan roti, biskut dan segala jajan. Sebaik sahaja dengar loceng, kami pun menjerit-jerit panggil Mak sambil berlari-lari kearah penjual roti.

       Itulah kenangan yang tak pasti dapat Kjee lupa ketika tinggal di Taiping di awal 60-an. Bai roti itu tahu sangat apa yang kami suka. Selalunya, kami mintak roti bengali (atau roti paun) disapu Srikaya. Kjee masih dapat ingat keenakkan Srikaya tersebut. Sedikit cair dan halus. Warna oren pekat. Alaaa tak tahu nak cerita camner rasanya.

       Arwah mak pun ada buat Srikaya. Pun sangat sedap. Apabila dia tak letih, Srikaya yang dibuatnya menjadi halus. Kalau keletihan, Serikaya dia menjadi sedikit bergentel. Dan itulah yang kami adik beradik suka sangat. Mak kata kalau bergentel maknanya, terlebih masak dan bantat. Oleh kerana kami suka, tiap kali mak buat, kami berdoa agar Srikaya dia menjadi bantat dan bergentel. Hehehe sakit hati mak.

       Srikaya ni Kjee buat semalam. Nadia balik, masuk dapur dan calit sikit. Eh dulu Mama buat kan halus dan licin. Kenapa hari ini jadi bergentel, komen Nadia. Hmmm betapa bangganya Kjee apabila dapat komen seperti itu. Inilah cara Bonda buat dan Alhamdullilah Kjee berjaya membuatnya!

        Beza antara airtangan Bonda dengan yang Kjee buat ialah warnanya. Kjee tak berani nak buat gula hangus terlalu gelap sebab takut menjadi pahit. Lain kali Kjee plan nak buat guna Gula Melaka supaya warnanya lebih gelap sedikit. Mungkin lagi sedap.







     

         Srikaya yang Kjee buat ikut resipi Bonda ini menggunakan 5 biji telor (gred B), 1 cawan metric gula pasir, 1 kotak santan (Bonda guna santan pekat dari dua biji kelapa), secubit garam dan tiga helai daun pandan. Kjee guna ½ cawan gula pasir dengan 1 cawan air panas untuk buat gula hangus.

        Masak gula hangus dulu. Masak ½ cawan gula pasir guna api kecil dalam periuk. Apabila sudah sedikit perang, masukkan air panas. Biarkan ia mesra kemudian padam api dan sejukkan.

        Sediakan satu periuk yang besar sedikit dan letak air. Didihkan air itu.

        Pecahkan 5 biji telor ke dalam bekas bersama 1 cawan gula. Kacau sehingga gula larut. Kemudian masukkan satu kotak santan. Kacau hingga sebati. Masukkan pula gula hangus. Kacau lagi. Masukkan ke dalam periuk bertangkai yang lebih kecil daripada periuk berisi air panas.

        Apabila air dalam periuk sudah mendidih, letakkan periuk bertangkai diatas air mendidih itu. Jangan lupa simpulkan jugak daun padan dan masukkan sekali. Masa ini kena hati-hati. Sekiranya air itu terlalu kuat didihnya, kecilkan api. Sentiasa kacau sehingga adunan menjadi pekat. Kjee rasa ini mengambil masa antara 45 minit hingga ke satu jam.

        Kalau nasib baik, Srikaya halus dan licin. Kalau tidak, jadilah ia sedikit bergentel seperti yang Kjee buat. Tapi jangan bimbang sebab rasanya tidak terjejas.

        Tunggu sehingga betul-betul sejuk baru disimpan dalam botol yang kering di dalam peti ais. Sapu pada roti yang telah dibakar atas dapur atau guna toaster.





0 comments:

Post a Comment