Sejak diperkenalkan di sebuah restoran di Petaling Jaya (Damansara?) dua tahun lalu rasanya, makan secara Shell Out kini sudah menjadi sangat-sangat popular. Dah boleh jumpa tempat makan yang menghidangkan makanan laut atau seafood ini di mana-mana sahaja di Lembah Kelang.
Apa sebenarnya Seafood Shell Out? Ia adalah hidangan makanan laut yang dilonggokkan dalam satu kuali. Maknanya, dimasak udang, ketam sotong, kepah, lala dan sayur-sayuran terpilih sekali gus dalam kuah ala sos masam manis pedas. Ada juga kedai makan yang sediakan dua tiga jenis cara masakan.
Tak hairanlah kalau di hujung minggu, anak-anak muda mahupun keluarga gemar sangat lah ber shell out. Kjee pun terjebaklah apabila kawan-kawan yang pergi ke sebuah restoran makanan laut berhampiran Zoo Negara, asyik tayang kat FB, shell out kat situ.
Maka Kjee heretlah Nadia. Setelah memilih seafood mentah yang berkenan pada satu ruang di restoran itu, kami beritahu pelayan mahu dimasakkan sekian-sekian. Kami kembali ke meja dan menunggu.
Kjee sudah tahu apa nak expect. Pelayan alas meja dengan kertas dan plastic see through. Nadia terpinga-pinga. Kemudian pelayan itu datang kembali dan tuang satu bekas penuh dengan masakan seafood yang kami pesan tadi. Kemudian diletaknya satu cawan nasi (diterbalikan cawan itu) diatas meja di depan kami. Selamat menjamu selera, katanya sambil pergi.
Muka Nadia merah padam! "Isyhhhh apa hal ni? Sengkek sangat ke restoran ni. Makanan dilongokkan atas meja! Fesyen apa ini?" Nadia was not amused. Dia kata dia rasa amat terhina sebab sepanjang usianya, belum pernah dihidangkan makanan yang dilonggokkan diatas meja seperti itu. Sambil bebel dia makan. Apabila settle, dia pergi bayar dan dalam kereta, warning Kjee jangan ajak dia lagi ke situ!
Itulah cerita dan pengalaman pertama Kjee dengan makanan seafood ala shell out. Kjee cerita dengan UnclePali. Beliau nampak seperti teruja. "Okaylah tu. Lain kali kita pergi berdua."
Kelmarin kami pergi ke sebuah restoran di Taman Melati. Tak payah cerita panjanglah. Sedap tetapi Kjee tak puas hati sebab seafood yang dihidangkan tak fresh. So, Kjee nekad buat hari ini. Malangnya, terjah dua supermarket tak jumpa Ketam dan Kupang. Hanya ada Sotong, Udang dan Lala. Jadi sebagai ganti ketam dan Kupang, Kjee beli udang galah sepit biru. Untuk sayur, Kjee beli Brokoli, Cendawan dan Bell Peppers Merah (Cili Besar).
Sampai rumah Kjee siapkan sosnya dulu. Tumis empat ulas bawang putih, bersama 3 batang serai dan 4 biji cili padi merah. Semuanya telah diketuk-ketuk. Apabila wangi, masukkan satu cawan cili kering kisar (kurangkan kalau tak mahu pedas) dan tumis hingga garing. Kemudian Kjee masukkan lebih kurang 1 cawan air, 3 sudu besar sos cili dan 2 sudu besar sos tomato serta 2 sudu besar sos hoisin. Kalau tiada Hoisin Sauce, letaklah sos tiram.
|
Pilihan udang galah, udang biasa, sotong dan lala |
|
Brokoli, Cendawan, Bell Peppers dan Jagung |
Masak sehingga agak pekat guna api sederhana. Kemudian rasa dengan memasukkan secubit garam. Kacau. Rendidih dan masukkan juga 3 atau 4 helai daun limau purut (kalau ada). Ada orang letak cuka tetapi Kjee tak makan cuka sebab gastrik. Tetapi rasa masam kuah boleh diperolehi melalui sos cili dan sos tomato.
Sementara itu, Jagung dibuang kulit, dipotong dua dan direbus bersama sedikit garam. Bersihkan sotong, potong ikut suka. Begitu juga dengan udang galah. Digunting buang mana yang patut. Samalah dengan udang. Lala dicuci bersih dan toskan.
Cuci Brokoli dan potong seperti biasa. Begitu juga dengan Bell Peppers Merah. Kjee juga letak cendawan. Sebenarnya, pemilihan sayur ikut pilihan masing-masing.
Apabila sos sudah sedia, masukkan dulu sayur-sayuran keras seperti brokoli dan Bell Pepper Merah. Apabila sudah sedikit empuk, masukkan udang galah, udang, sotong dan Lala. Gaul sampai rata. Rasa. Jika perlu bolehlah letak sedikit kicap cair atau Sos Ikan. Setelah puas hati akan rasa dan seafood sudah masak, masukkan cendawan dan kacau sampai rata dan padam api.
Cara menghidang ialah melonggokkannya atas meja yang telah dilapik dengan sehelai daun pisang atau plastik. Dah terlonggok, jangan lupa letak jagung rebus tadi. Hehehe
Dan makan lah secara mengadap, beramai-ramai. Sedap sangat makan cara ini sebab ia mengeratkan lagi silaturrahim apabila makan berebut-rebut.
Kjee bagi nama Seafood Longgok sebab merasakan nama Shell Out tak kenalah. Lebih tepat Seafood Longgok sebab dihidang berlonggok atas meja. Suka hati kita nak panggil apa kan? Kita yang buat dia. Hehehe.
Lebih murah membuatnya sendiri kalau keluarga besar. Kalau makan di kedai, yang biasa-biasa pun untuk dua orang RM40. Ada juga yang mencapai harga RM200 untuk tiga orang, kata seorang teman.
So selamat mencuba memasaknya di rumah.