Friday, April 7, 2017

CUCUR UDANG CICAH KUAH SATE








        Dah banyak kali Kjee nasihatkan korang. Kalau ibu masih ada, belajarlah semua makanan yang korang gemar sangat dari dia. Bila dia dah tak ada, janganlah pulak menyesal... macam mokcik ni.

        Kjee rasa tak sampai 30% daripada makanan yang Kjee suka hasil airtangan arwah Bonda, tak sempat Kjee pelajari. Maklumlah lepas habis sekolah, terus kerja, lepas tu kahwin. Bilalah ada masa nak belajar daripada beliau. Padan muka.

        Tapi kini Kjee dah ada blog, Nadia tak ada masalah kot. Sekarang pun kalau Kjee suruh dia masak apa-apa, dia akan duduk dulu dengan computer intai blog Mama.

         Cucur Udang adalah antara makanan yang selalu dihidangkan arwah Bonda. Begini jugalah cara dia menghidang iaitu mesti ada Tahu Goreng dan Timun. Tetapi arwah tidak guna sambal Sate. Dia hanya sediakan sos cili yang dia buat sendiri. Ala sos cili biasa iaitu dia tumbuk cili merah dengan bawang putih. Letak sedikit garam dan gula dan cuka.

         Cucur Udang ini adalah kejadian Sabtu lepas. Kjee buat sebab ada Kuah Sate yang berbaki dalam freezer. Nadia panaskan dan Kjee pun buatlah Cucur Udang.

         Kjee buat ikut memori. Kjee rasa Bonda letak telor sebiji, dipukul manja. Kemudian masukkan ke dalam tepung dan gaul sambil letak air. Air itu telah dicampur garam secukup rasa. Kemudian guna senduk dan kacau tepung bersama air itu sampai mesra. Mak juga letak sedikit serbuk kunyit tetapi Kjee tak letak. Lupa. Hehehe. Adunan ini agak cair berbanding dengan adunan buat cekodok. Rehatkan seketika.

         Kemudian kucai dipotong selebar 1½ inci, dan taugeh dicuci dan toskan. Udang hidup dibuang kulit. Kalau udang terlalu kasar, cincang-cincang sedikit.

         Panaskan minyak yang agak banyak supaya cucur tenggelam. Kemudian masukkan taugeh, kucai dan udang ke dalam adunan. Gaul hingga mesra dan gunakan senduk untuk dituang ke dalam minyak. Satu senduk sahaja. Jangan lah goreng terlalu banyak di satu-satu masa. Kemudian balik-balikkan apabila sudah garing dan toskan kuih atas tisu dapur. Buat sampai habis.

         Setelah sejuk, potong-potong dan kuah kacang, kuah sate mahupun sos cili.

         Orang Utara rasanya panggil Pasembor. Apapun namanya, Kjee rasa makanannya tetap sama kan? Hehehe Selamat mencuba.

         Kalau ada sesapa terlepas entri Kuah Sate, klik SINI.


       






1 comment:

  1. assalamualaikum kak jee...dek kerana menu kak jee ni la...harini saya buat sos sendiri yg mcm kak jee ckp tu...rindunyeee dgn arwah mak... -hunnyza-

    ReplyDelete