DIMSUM (SIEW MAI) AIR TANGAN KJEE

klik link ini untuk cerita penuh

BUTTER CAKE YANG GEBU DAN RINGAN SANGAT

klik link ini untuk cerita penuh

Mi Kari Ala nyonya

klik link ini untuk cerita penuh

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Monday, November 30, 2020

PENGAT KELADI


     Pengat Keladi. Antara pengat kesukaan Kjee. Kalau Kjee buat, kekadang tak sempat tunggu chill dalam peti ais, Kjee dah habiskan semangkuk.
     Aritu Kjee suruh UnclePali beli Keladi Cina. Kononnya nak buat puffs. Terkejut Keladi tu besar. Dekat sekilo. Keladi Import. Tak kesahlah local ke import asal empuk.
     Anyway apabila nampak besar sangat, terfikir nak goreng. Tetapi hanya mampu merancang apabila terjadi pulak Pengat. 
     Ingatkan asben kita tak suka. So kita buat sikit aje. Dia habiskan satu mangkuk!


     Kjee guna tak sampai separuh keladi tu. Rasanya dalam 200gms. Buang kulit, dadu dan rebus. Masa merebus, ke hulu ke hilir buat kerja lain. Rupa2nya Keladi ini jenis cepat empuk. Habis hancur. 🙄
     Kerana itu, Kjee tak toskan airnya. Terus masukkan gula pasir (ikut suka), sedikit garam dan setengah kotak santan kecik. Letak juga daun pandan yang telah disimpulkan. Kjee terlupa. 🤭
     Tengah nak masukkan santan terfikir nak letak sagu biji. Cuci dan masukkan tanpa sempat rendam seketika. Buka api perlahan sampai mendidih. Kemudian padam api walaupun sagu belum elok masak. Kepanasan pengat akan masak sagu tu sampai sempurna. 
     Dah sejuk, masukkan dalam fridge. Sedap makan chilled. 


       

Sunday, November 29, 2020

KARI KEPALA IKAN


     ALHAMDULILLAH syukur. Semalam Kjee dapat rezeki banyak ikan segar yang Insya Allah cukup untuk dua minggu. Sarat barat freezer. Antaranya Ikan Jenahak, Siakap, Cencaru. Terima kasih Cikgu Noor Farhana Musa. 
     Kalau Ikan Jenahak in da house, Kjee seringkali buat Kari. Itu yang dilakukan arwah Mak dulu. Memang sedap Ikan Jenahak masak kari. Memasak lauk ini cukup nostalgik. Teringat arwah Mak dan bapak. 
     Since Kjee tak berapa sihat, Kjee start masak awal tadi. Sebaik lepas breakfast. Masa itu masih ada tenaga walaupun tak banyak mana. 


     Kerana itu, Kjee hanya masak Kari Ikan+ekor Ikan Jenahak. Lauk lain UnclePali suruh keep it to the minimum. Dia petik pucuk betik belakang rumah. Kjee terus cuci dan rebus. Letak garam lebih sikit bagi hilang pahit. 
     UP masak nasi dan letak dalam rice cooker dua biji homemade telor asin. Itu cara kami merebus telor asin. Cuci telor asin bersih-bersih. Letak atas beras dalam rice cooker. Nasi siap masak, telor asin pun cantik kejadian.  Selain itu dia  juga goreng Papadom. 
     Sekarang Kjee lunch tersangat awal. Kul 12 tengah hari sudah mengadap hidangan. Perut Kjee terlalu sensitif sekarang. Lambat makan kena, serang gastrik. 
     Okay kalau nak tahu cara Kjee masak kari ini, KLIK SINI. 

     
      

Saturday, November 28, 2020

CHILI CRABS VERSI KAY ELL


     Kelmarin Kjee berjaya pujuk UnclePali bawa Kjee masuk pasar Keramat! Lama dah tak pergi. Walaupun bising mulut dia suruh hati-hati, namun dia tetap pimpin juga Kjee ke dalam pasar. Opkos Kjee guna tongkat. Naik kerusi roda memanglah tak boleh.
     Ini kali kedua sejak PKP, Kjee masuk pasar! UP serik bawak Kjee sebab Kjee tak reti jaga Social Distancing. Pastu dia risau Kjee terjatuh. Maklumlah lutut Kjee bukannya kuat.
     Anyway, mata Kjee ternampak ketam. Terus teringat Chili Crabs kat Restoran Fatty Crabs kat Taman Megah, PJ. Tetapi janganlah harap dapat rasa sama! 
     Sekarang dah mahal makan kat restoran tu. Dua orang lebih kurang Rm150. Masak sendiri separuh harga! Ada baki untuk dinner lagi walaupun beli empat ekor aje! 
     Kjee google dan jumpa macam-macam versi. Teringin nak buat Spore Chili Crabs tapi tengok resipi macam sama seperti yang Kjee pernah buat. Well ini Chili Crabs versi Kay Ell. 😉
     Cuma kali ini Kjee tambah sedikit belacan. Kjee rasa yang dimakan kat restoran itu ada rasa belacan atau petis.
      So inilah kejadian Chili Crabs hari ini. Biasa-biasa aje macam Kjee pernah buat sebelum ini. Tetapi UP dapat meneka Kjee terlebih letak sos cili dan sos tiram . Hmmm.
     Korang intailah resipi yang pernah Kjee dulu kat SINI
     Kalau tak letak belacan, rasanya sikit lebih kurang macam Sweet Sour Crabs yang pedas. Selamat mencuba. 

Thursday, November 26, 2020

KOREAN GARLIC CHEESE


     Setelah seringkali tengok orang viralkan Korean Garlic Cheese ini, hari ini Kjee pun buat lah. Hasilnya? Nothing to shout about, really. Ada okay, tak ada pun okay lah. At least Kjee buat jugak kan. 😁
      Semalam dapat sumbangan Sandwich Buns yang diuruskan oleh Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia. Terima kasih Nor Azifah Abidin yang mengusahakan. 


      Selamat sikit nyawa Kjee sebab dah pujuk-pujuk asben kita buat burger buns. So kehadiran sandwich buns, percepatkan Kjee buat Korean Garlic Bread. 
      Stok bahan-bahan semua ada. Kecuali Mozarela sticks. UnclePali beli grated Mozarela. Ahhh kita yang buat dia. 


      Kjee grill aje atas grill pan dan ditutup guna penutup kaca. Malas nak masuk dalam oven atau guna air fryer. Sama aje rasanya. Tujuannya untuk cairkan Mozarella cheese tu. 
      Video untuk Korean Garlic Cheese boleh ditonton pada link bawah. 



     

Wednesday, November 25, 2020

APAM NASI


DAH dua tiga kali Kjee buat. Tiap kali ada aje slack. Sampai rasa macam nak give up. Tak nak buat Apam Nasi lagi.
     Tetapi kan, mata ni tak boleh control apabila tengok orang post kejadian Apam Nasi yang awesome sangat kat FB! Yang gebu-gebu yang senyum-senyum. 😆
     Okaylah. This time, I give one last shot. Kalau tidak menepati citarasa, boleh blah lah. Hehehe bunyi macam kecewa sangat kan! Serius ni bukan main-main! 🤭
    So Kjee blog walking. Jumpa banyak resipi. Pastu garu kepala pulak nak pilih yang mana satu. So akhirnya Kjee pilih satu yang Kjee rasa boleh try. 


      Bahan-bahan nya:
2 cawan nasi sejuk
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
2 cawan gula pasir
2 cawan setengah air
2 sudu teh yis kering
Pewarna ikut suka
Kelapa parut putih yang muda
Secubit garam

    Kjee buat separuh adunan aje. Kalau tak jadi, taklah rugi sangat. Ewah macam modal ribu-ribu kan! 🤭
    Separuh adunan jadi 19 biji. Tetapi apabila dah siap dan menepati citarasa, nyesal pulak mokcik! Sedap dan gebu sangat. Tak sangka boleh jadi Apam Senyum. Tetapi ada empat lima biji yang 'sombong sangat tak mahu senyum' !!!  😆
     Kjee sarankan korang yang seringkali gagal buat Apam Nasi, ikut resipi ini. Sure tak nyesal lah. Insya Allah.
     Rupa-rupanya ada fren kata kalau nak apam tu sengih macam kerang busuk, air kukusan mesti mendidih gila-gila masa start kukus. Ohhhh gitu ke? I will cuba again next time. 
      Cara membuatnya adalah seperti berikut. Oleh kerana Kjee buat separuh adunan aje, Kjee guna hand blender. Korang yang buat adunan penuh, bolehlah guna blender biasa. Cuci bersih-bersih blender tu tau. Jangan pulak nanti Apam Nasi ada perisa cili. 😁

     Mula-mula blend nasi dengan air sampai halus. Masukkan gula. Blend lagi sampai halus. 
     Campur tepung beras dan tepung gandum. Tuang adunan yang diblend tadi ke dalam tepung. Kacau rata dan masukkan yis. Perap selama 3 jam. Yes 3 jam tau. So kalau nak buat, kena prep tengah hari, petang kukus dan buat minum teh. 
     Selepas 3 jam, kacau adunan manja-manja. Kemudian bahagikan dalam bekas2 berasingan. Campurlah kaler kesukaan. Sapu/berus sedikit minyak kat acuan supaya kuih tak melekat. Isi tiga suku acuan aje. 
     Apabila air dah mendidih maximum, kukus selama 15-20 minit. Dah siap, cungkil keluar. Makan dengan kelapa parut yang telah dicampur sedikit garam. Kelapa tu nak tahan lama kukus sekejap. 
     Itu aje. Rasa cam nak buat lagi sehari dua ni. 💃💃💃




    
     

Tuesday, November 24, 2020

PINDANG SERANI


LAUK ini macam legend dalam famili Kjee. Sejak kecik bonda selalu masak. Macam-macam ikan dia guna untuk masak. Antaranya, Tenggiri, Parang, Cencaru dan jugak Ikan Gelama.
     Arini Kjee masak guna Ikan Cencaru. Sambil masak, sebak sebab teringat arwah bonda. Kjee memang jarang-jarang masak lauk ini. Entah camner tetiba teringat bak buat. 
     Bahan-bahannya bawang merah, bawang  putih, sedikit halia, cili merah atau cili padi, asam Jawa dan serbuk kunyit. Ikan digoreng jangan terlalu garing.
     Ada dua cara masak lauk ini. Boleh ditumis bahan-bahan sehingga wangi, letak air asam jawa, serai dan serbuk kunyit. Didihkan. Dah mendidih, masukkan ikan yang digoreng tadi. Letak garam dan secubit gula.
     Cara satu lagi, masukkan semua bahan hiris, serai dan serbuk kunyit dalam air asam jawa dan didihkan. Masuk ikan goreng. Didihkan guna api perlahan. 
     Cara Kjee buat ini yang ori resipi arwah bonda. Tak letak halba atau sayur. 
     

Monday, November 23, 2020

GARLIC PRAWNS SPAGHETTI


     Buat ini semalam for lunch. Mula-mula plan nak buat spag Olio Aglio tetapi ternampak pulak resipi Marion Grasby,  chef campuran Thai Australian tu. Menarik juga Prawn Garlic Spaghetti. 
     Terus ubah fikiran dan nak try resipi dia. Apabila diamati, Marion buat Pesto dulu. Nak buat jugak ke tidak sebab kalau tumis bawang putih pastu letak udang pastu letak hirisan daun bawang dan halia sagat, sama aje.
     Tetapi Kjee decide buat Pesto lah. Bukan susah mana. Hiris secekak daun bawang, sagat satu inci halia. Campur dan tumbuk-tumbuk manja. Letak garam sikit. Letak pulak dalam mangkuk. Panaskan minyak masak  yang telah dicampur sedikit minyak bijan. Curah atas daun bawang tadi. Siap Pesto. Tepikan. 


     Pesto ini sos wajib bagi orang Itali. Sebab tu Marion kata Spaghetti ini ala-ala fusion. Asia campur Itali. Kononnya.
     Kemudian masak air dalam periuk bersama garam. Orang Itali kalau rebus spaghetti, air tu mesti cukup masin. Macam masin air laut kata mereka. Hmmm. Air dah mendidih, masukkan spaghetti. Kjee buat separuh peket. Masak sampai kenyal atau Al Dente.
     Masa tunggu spaghetti siap, cincang 5 ulas bawang putih. Udang dibuang kulit. Kemudian tumis bawang putih guna minyak yang sedikit sebab nanti Pesto, berminyak lagi. 
      Apabila bawang putih dah nampak garing sikit, masukkan udang. Masak sehingga udang berubah warna. Masukkan kicap cair dan sos tiram. Jumlahnya, agak-agak. Jangan terlalu banyak kicap tu sebab dah ada garam dalam Pesto. Hujung-hujung nanti kalau tak cukup masin, tambah ler lagi. 

     By this time spaghetti dah siap. Padam api air rebusan.  Tepikan satu mangkuk air rebusan baru tos Spaghetti. 
     Masukkan terus spaghetti ke dalam kuali tadi. Kacau sehingga keseluruhan spaghetti disalut tumisan udang tadi. Kemudian curahkan pula Pesto. Letak juga cili flakes dan gaul. 
     Tuang lebih kurang setengah cawan air rebusan spaghetti ke dalam kuali bersama spaghetti. Air rebusan itu pun dah masin sebab itu Kjee kata hati-hati masa letak kicap cair. Nak letak lebih air rebusan pun okay aje. 
     Gaul sampai rata. Hidang dan terus makan. Tabur dulu cili flakes lagi kalau suka pedas. Siap! 
     Kalau rasa tak cukup masin, tambah kicap cair atau tabur Parmesan Cheese. Fuyooo sedapnya. Isyhhh macam nak buat lagilah untuk dinner nanti. 🤭



Sunday, November 22, 2020

NASI BRIYANI


     Kjee dan UnclePali suka sangat makan Nasi Briyani, Nasi Arab dan Nasi Tomato. Daripada tiga jenis nasi ini, Kjee hanya pandai masak Nasi Tomato. 
     Tetapi hari ini dalam sejarah... Kjee dah boleh masak Nasi Briyani!!! Taklah terer tetapi sangat kena dengan citarasa. Selalunya kalau beli Nasi Briyani, nasinya kering. In other words agak keras. Kjee dan UP gemar nasi yang lembut sikit. Lembut bukan lembik tau. 
     Semasa hendak try masak Nasi Briyani for the first time, Kjee nak buat Nasi Briyani biasa. Lauknya masak asing-asing. So Kjee google. Alhamdulillah jumpa! 
      Nasi Briyani simple yang mudah sangat penyediaannya bagi a beginner like me. Resipi Malina Lina. Kjee excited tengok video dia. Tak complicated dan bahan-bahannya semua ada di dapur Kjee kecuali gajus dan kismis. 

      Mujur ada banyak lagi beras Basmathi Par Boiled pemberian seorang sahabat masa PKP dulu. Thnx Ana Noor Farhana. 
      Kjee follow sebiji resipi Malina Lina kecuali bab air. Resipi asal, 4 cawan air untuk 4 cawan beras. Tetapi Kjee tambah satu cawan lagi. Dan syukur, itu bukan satu kesilapan. Nasi menjadi lembut dan gebu. Tetapi korang tak payahlah ikut Kjee jika gemarkan texture nasi yang keras sikit. 


     Kjee tanya UP mahukan ayam masak apa. Kjee bagi tiga pilihan. Kari Ayam, Ayam Masak Merah atau Rendang Ayam Kelantan. UP kata nak makan kari. Bagus, mudah kerja aku. 🤭
     So Kjee masak Kari Ayam dan Jelantah Timun. 
     UP buat Sambal Belacan Kerisik. Itu fav orang Utara. Tumbuk sambal belacan macam biasa. Lepas itu, dadu tomato dan masukkan dalam lesung. Mayang dua bawang merah. Tumbuk lagi manja-manja. Masukkan kerisik dalam satu sudu. Letak gula sikit. Siap. 
     Untuk Jelantah Timun, hiris timun, nanas, sebiji bawang besar dan cili merah. Gaul semua, letak gula dan cuka. Letak juga secubit garam. Gaul rata. Itu aje. 
     Selebihnya korang tengok video Malina Lina ya. Insya Allah menjadi. 



Klik link ni untuk resepi Nasi Tomato 
 
Klik link ni untuk resepi Kari Ayam



Klik link ni untuk resepi Nasi Briyani atau tonton video diatas.
     
      
    

Saturday, November 21, 2020

DRIED CRANBERRY SCONES



     Sudah dua tiga kali singgah di Ms Ellie's Tea House, Melawati untuk menikmati scones. Kalau ke Cameron Highlands memang wajib singgah di cafe di ladang teh untuk order Scones .
     Of course dah lama nak buat sendiri. Asyik goggle dan tatap. Kekadang rasa senang, kekadang rasa macam leceh. Sehinggalah bertemu dengan resipi Fari Mansoor. Tetapi agak was-was sebab Fari suruh panaskan oven dan tray sekali gus! 
     Dalam hati terfikir camner agaknya cara nak keluarkan tray hitam oven panas tu. Fari kata semua mesti lakukan pantas-pantas. Okaylah. Belum cuba belum tahu. 
     So Kjee follow resipi tu sebijik-sebijik. Tak berani nak derhaka. Bahan-bahan semua dah ada. Termasuk dried cranberries. 


     Bahan-bahannya :
350 grams self raising flour
Suku camca teh garam
Suku camca teh baking powder
85 grams butter sejuk/dadu 
3 sudu besar gula
Setengah cwn dried cranberries (optional) 
1 sudu besar kulit lemon yg disagat
175 ml susu segar
1 sudu besar jus lemon 
1 sudu teh esen vanilla
Sebiji telor dipukul manja
CARA
    Mula-mula panaskan oven bersama dulang hitam yang didatangkan bersama oven. Suhu 200 darjah celcius. 
     Panaskan susu segar jadikan suam sahaja. Campurkan jus lemon dan esen vanilla. Kacau dan tepikan. 
     Ayak 350 grams tepung naik sendiri bersama garam dan baking powder. Masukkan butter yang telah didadu dan ramas guna hujung jari sahaja sehingga ia kelihatan seperti breadcrumbs. Campurkan gula, lemon zest (kulit lemon sagat) dan dried cranberries. Tak ada cranberries okay jer. 
     Tuang bancuhan susu ditengah-tengah adunan tepung tadi dan gaul guna hujung jari sahaja. Agak lembik sikit. Apabila sudah bersatu, alihkan ke board yang telah ditabur sedikit tepung. Balik-balik sehingga menjadi doh yang agak padat. 
     Gelek perlahan-lahan setebal 4cm atau satu setengah lorek di jari. Kemudian keluarkan loyang yang telah dipanaskan. Guna pencetak bulat 5cm. Tekan. Jangan sesekali pusing-pusing pencetak ketika tekan. Guna spatula untuk letak scone atas loyang panas. Sapu telor di permukaan scones. 
     Bakar selama 20-25 minit pada suhu 200 darjah atau sehingga scones keperang-perangan . 
     Hidang dengan jam, butter atau whipping cream. 
     Thnx Fari Mansoor for the awesome recipe. 



 
     

     

Friday, November 20, 2020

JEJARI KENTANG KEJU


SEJAK bemula PKP Mac lepas, dah banyak rasanya Kjee terai resipi yang dikongsi warga FB. Ada yang Kjee hanya tatap sambil terliur.
     Tetapi paling top dalam list percubaan Kjee, adalah membuat roti. Dulu selalu buat guna breadmaker. Sejak BM demam, Kjee pun tak berani cuba kaedah manual.
     Beberapa hari lalu, Kjee ada terserempak beberapa resipi yang bakal dicuba kelak. Dan pagi ini untk Sarapan, Kjee buat Cheese Sticks yang Kjee rebranding Jejari Kentang Keju.
     Thnx Johor Foodie, kongsi video. Tetapi Kjee buat stail Kjee. Alhamdulillah menjadi. Sedap sangat. My husband makan tak henti-henti. Mujur buat sikit. Otherwise there goes our diet. 🤭

     Kjee mula dengan mendadu dua biji kentang. Dadu kecik-kecik supaya cepat proses merebusnya. Letak sedikit garam masa rebus.
     Kjee guna tiga slice cheddar cheese. Carik-carik dan letak dalam besen atau mangkuk besar. Setelah kentang empuk, Kjee tos dan letak semuanya dalam tapisan besi dan lenyek atas cheese tersebut. Mesti dilakukan panas-panas supaya cheese cair. 

     Gaul sampai cheese dan kentang sebati. Kemudian letaklah tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut. Agak-agak ler tetapi Kjee guna dalam tiga suku cawan. Simpan dalam peti ais lebih kurang 20 minit.
     Kemudian ambil sebesar bola ping pong dan digelek dengan jari jemari sehingga jadi sepanjang jari hantu. Letak atas dulang atau pinggan yang telah ditabur tepung untuk elak ianya melekat.

     Panaskan minyak, kemudian perlahankan api dan masukkan jejari kentang tadi ke dalam minyak. Kjee hanya goreng 6-7 keping sekali. Balik-balikkan perlahan-lahan hingga cantik brown. Toskan. Buat sampai habis.
     Makan dengan sos cili atau begitu sahaja. Mungkin kalau doh itu dicampur juga dengan sedikit tepung beras, hasilnya akan menjadi lebih ranggup atau garing. Tapi UnclePali kata dah okaylah tu.
     Cubalah buat dengan anak-anak yang kini stay at home dan ibu-ibu work from home.


Buat kali kedua. Kjee campur tepung beras dan sedikit tepung jagung. Lebih sedap dan ranggup. 

Thursday, November 19, 2020

PULUT MANGGA THAI


     INI dessert Thai yang sangat popular. Boleh dinikmati kalau ke sesetengah restoran Thai. Tetapi kalau ada Ekspo Thai, pasti Pulut Mangga ini antara jualan yang tersenarai.
     So kalau asyik nak tunggu ada Ekspo Thai baru hendak merasainya, eloklah buat sendiri. Sekarang ini pun musim mangga. So lepas sarapan semalam Kjee rendam satu cawan pulut. Kononnya nak makan sorang ler sebab UnclePali tak pernah tunjuk minat.
     Setelah rendam dekat dua jam (sejam pun dah ok tapi kali ini terlajak), Kjee pun siapkan kukusan. Actually boleh masak dalam rice cooker aje.
     Air untuk kukus pulut tu, seinci aje dari paras pulut. Kjee campur air dengan dua sudu santan kotak dan secubit garam. Lebihan santan kotak itu untuk buat kuahnya. Kukus sehingga pulut masak. Lebih kurang 20 minit. 

     Sambil menunggu pulut masak, Kjee masuk baki santan dari satu kotak itu ke dalam periuk kecil. Kemudian masukkan air ke dalam kotak dan curah ke dalam periuk tadi. Kjee letak satu senduk gula dan secubit garam ke dalam santan. Kacau dan jerang guna api perlahan sehingga gula larut. 
     Sementara tunggu adunan santanmendidih, Kjee larutkan dua sudu kecil tepung jagung dengan kira-kira satu sudu setengah air. 
     Okay santan sudah mendidih. Harus kacau selalu supaya tidak pecah santan. Kemudian masukkan larutan tepung jagung. Masak sehinggan sos menjadi likat. Padam api. Sejukkan. 
     Masa ini pulut sudah masak. Keluarkan dan guna garfu untuk lerai-lerailan pulut. Sejukkan. 
     Mangga dibuang kulit. Isinya dihiris ikut suka. Apabila pulut sudah sejuk, mula plating. Letak pulut dalam piring, susun hirisan mangga dan curah sos santan. Orang Thai tabur beras sangat yang telah ditumbuk. Kjee tak buat. 

     

     

     

Wednesday, November 18, 2020

SAMBAL TUMIS ORANG JAWA


     Ini antara sambal tumis favorite ramai orang. Bahan-bahannya mesti cukup korum. Harus ada tempe, tahu, kentang dan ikan bilis. Petai itu bonus.
     Kjee buat ini dua hari lepas. Untuk lunch tetapi ada baki semangkuk besar untuk dinner. Selalunya Kjee tak makan malam. Kalau lapar sangat pun, my dinner is at 5-6pm.
     Anyway, malam tu, Kjee ratahlah sambal tumis ini berdua dengan UP. Memanglah sedap. Pedas giler dan kena tanggung akibatnya pagi esoknya. 😁
     Nak masak sambal tumis ni, mula-mula sediakan bahan asasnya. Kjee potong-potong setiap bahan dalam saiz yang berbeza. Mudah nak kenal nanti apabila sudah dicampur sambal. 
     Ikan bilis kena goreng garing-garing dan hanya dicampur ke dalam sambal time nak makan. Itu caranya tak nak bagi bilis itu, lemau. 
     Minyak gorengan tadi akan digunakan untuk tumis sambal. Jangan membazir walaupun minyak tu dah tak berseri-seri lagi lepas goreng bilis. 😆



     Dah siap bab pertama, tumbuk dua tiga ulas bawang merah. Kjee guna satu labu bawang besar. Pilih yang sedang-sedang. Tumbuk bersama dua ulas bawang putih. Kjee jarang letak belacan apabila buat sambal tumis. Pilihan di tangan anda. 
     Next, panaskan kuali dengan minyak gorengan tadi. Masukkan empat atau lima sudu besar cili kering kisar. Goreng seketika kemudian masukkan bawang-bawang tumbuk tadi. Goreng sehingga agak kering. Kalau cili kisar tu jenis pedas maut, masukkan air dan terus dimasak guna api perlahan sampai hampir kering. Kjee kemudian campakkan satu keping asam gelugur. Korang nak letak air asam jawa pun boleh. 
     Kalau ada kiub bilis bolehlah letak sebiji. Tetapi ia masin so jangan tambah garam. Letak satu sudu gula pasir. Kacau rata. Dah cukup rasa, tunggu sampai sambal sudah betul-betul sejuk baru masukkan semua bahan goreng. Kacau sampai mesra. 
      Siap. Masa nak makan, jangan lupa tabur ikan bilis goreng. Barulah enak banget. 😁


Petai itu Kjee letak masa nak makan. Petai jeruk aje sebab tak jumpa petai kat pasar. 


     
 



     

Tuesday, November 17, 2020

DONUT GEBU



     Lebih mudah beli. Tetapi yang belum pernah buat, tentu tidak dapat bayangkan sedapnya dimakan sebaik sahaja siap digoreng dan dicelup dalam gula kastor!
     Dulu-dulu masa Nadia kecik, selalu Kjee buat. Masa tu tinggal di Apartment. Malas nak keluar beli kuih muih. So, setiap petang ada sahaja kuih yang Kjee buat.
     Dan baru semalam UnclePali dapat rasa air tangan isteri dia buat donut. He was so impressed! Sedap katanya sambil mengadap yang baru dikeluarkan dari kuali petang semalam. Berbiji-biji dia bedal. 😂
     Resipinya mudah sangat. Oleh kerana kami dah terer buat roti yang guna kaedah sama, so no problem. Bab menguli, UP tetap nak guna dough mixer. Jenuh nak uli katanya, walaupun 5 minit. 
     Bahan-bahannya 3 cawan tepung, 1 cawan air suam kuku, 2 sudu makan gula pasir, 3 sudu susu pekat manis, 1 peket yis mauripan, 1 biji telor dan dua sudu besar marjerin. Kjee guna buttercup. Gula kastor secukupnya untuk salut lepas goreng. 
     Caranya. Gula pasir dan susu manis diletak dalam air suam di dalam mangkuk. Setelah sebati dan gula larut, masukkan yis. Kacau sehingga yis larut dan biarkan ia berbuih. Lebih kurang 10 minit. 
     Panaskan marjerin. Apabila sudah cair, biarkan ia sejuk seketika. Pukul sebiji telor manja-manja dan campurkan dalam marjerin yang sudah sejuk. 
     Apabila campuran yis sudah berbuih, tuangkan ke dalam tepung. Kacau sambil tuangkan campuran marjerin dan telor. Jadikan doh. 

     Uli selama 5 minit sehingga elastik. Kemudian oles satu mangkuk besar dengan sedikit minyak. Bulatkan doh tadi, letak dalam mangkuk dan ditutup dengan plastik cling wrap. Kalau tiada, tutup dengan tuala bersih lebih kurang 30 minit atau sudah naik dua kali ganda. 
     Tumbuk kasi keluar angin. Doh Kjee semalam agak lembik. Jangan risau. Pepandai lah tambah sedikit tepung masa hendak membulatkan doh. Tetapi jangan banyak. Agak2 jer. 
     Sediakan loyang yang telah ditabur sedikit tepung supaya doh tidak melekat sebelum dibakar. Buat bulat-bulat. Letak dalam loyang. Jarangkan. Biarkan ia naik sedikit kira-kira 10 minit. 
     Panas minyak. Ambil satu doh. Kjee buat lubang ditengah sebelum masukkan perlahan-lahan ke dalam kuali. Api jangan terlalu panas. Terbalikkan apabila sudah warna keperang-perangan. 
     Sediakan gula kastor. Salut donut ketika masih panas. Alhamdulillah dah sejuk pun masih lembut. 

     
  

Monday, November 16, 2020

TAUPOK BERGEDIL



     Dah dua kali kot Kjee buat tapi apabila Kjee cari dalam blog, tak ada. Ohhh Kjee tak buat entri agaknya dulu. Kenapa hah?!! 🤔🤭 
     Now I remember why! Sebab Kjee tak berapa excited dengan kejadiannya. Bukan antara food yang Kjee suka. Lebih rela makan Bergedil sahaja. 
    Taupok sebenarnya lebih sedap diletak dalam makanan berkuah seperti Mi Kari
Kjee pernah juga letak dalam lauk bening atau masak air Lobak Putih. Sedap sebab taupok tu akan serap air dan menjadikannya lembut. 
     Well itu pandangan Kjee. Tak semestinya apa Kjee tak gemar, you all tak suka jugak kan?! 
     Anyway, Kjee buat arini sebab nampak dua biji kentang tersadai kat dalam bakul di dapur. So Kjee suruh UnclePali beli taupok. Kali ini teringin nak letak udang putih yang halus2 tu. Jenuh jugak ngadap buang kulitnya. Tapi Kjee memang insan yang penyabar hadap benda2 camni. 😁
     Masa Kjee bersihkan udang tu, Kjee dah rebus dua biji kentang. Buang kulit dan potong kecik2 sikit supaya cepat lembut. Letak garam. 

     Kemudian Kjee hiris satu labu bawang besar yang medium. Kjee tumis guna sedikit minyak. Dah brown, Kjee masukkan udang tadi. Goreng sampai udang garing kemudian toskan atas tisu dapur. 
     Apabila kentang dah lembut, terus lenyek. Dah halus, campur dengan bawang dan udang tadi. Kalau ada daun bawang bolehlah ricik halus-halus dan campur sekali. Kjee tak ada. 
     Gaul rata dan rasa. Boleh letak sedikit garam. Jangan banyak sangat sebab nanti nak makan dengan Sambal Kicap. 
     Toreh taupok. Jangan sampai putus. Keluarkan isi taupok itu perlahan-lahan
Campurkan dalam adunan kentang tadi
Kemudian dikepal-kepal dan sumbat dalam taupok. Dua biji kentang tadi ngam-ngam untuk 12 biji taupok. 

     Pukul dua biji telor. Letak secubit garam. Kemudian panaskan minyak dalam kuali. Api biar sederhana. Celup taupok yang telah disumbat tadi dalam telor. Letak secara cermat dalam kuali. Terbalikkan sehingga warnanya keperang-perangan. Goreng sampai habis. 
     Makan dengan Sambal Kicap. Hari itu Kjee dah ajar kan buat Sambal Kicap. Senang aje. Hiris tiga biji bawang merah, dua ulas bawang putih. Kemudian digoreng. Toskan atas tisu dapur. Kemudian goreng cili padi. Banyak mana, terserah. 
     Tumbuk semua bahan goreng tadi sampai halus. Kemudian curahkan kicap manis. Perah jus limau nipis. Kjee tambah sedikit lagi gula. Kacau rata. Siap. 
     Sambal Kicap ini femes di kalangan orang Johor. Kicap sama digunakan untuk makan dengan goreng pisang. Kjee suka sangat cicah ikan bakar dengan kicap ini.