Mentang-mentang dah ada Hot Plate, terfikir pula nak buat Sizzling Tofu Jepun. Banyak kali Kjee dah buat tetapi hidang dalam pinggan biasa aje.
Ini kejadian untuk lunch tadi. Seperti biasa, Kjee hanya sediakan bahan2 sahaja. Kerja2 yang boleh dilakukan sambil duduk. Bab menumis dan lain2 disempurnakan UnclePali. Dia memang suka kalau Kjee beri dia tugasan itu. 😁
Bahan2 yang diperlukan untuk lauk ini ialah tofu yang dalam tube tu. UnclePali beli satu yang besar dan satu kecil. Juga perlu sedikit isi ayam yang dihiris-hiris. Letak Cendawan Shitake sedap. Kacang hijau atau snow peas kebetulan ada stok. Bahan lain, tiga ulas bawang putih yang Kjee ketuk2, satu inci halia dihiris nipis dan cili kering yang Kjee rendam dan potong dua. Jumlahnya ikut kepedasan.
Tofu dipotong-potong dan diletakkan diatas tisu dapur. Kemudian disalut tepung jagung dan digoreng sehingga keperang-perangan. Tepikan.
Tuang lebih kurang 3 sudu minyak dalam kuali. Sudah panas, masukkan bawang putih dan halia. Dah agak kering, masukkan ayam. Goreng sehingga ayam kecut. Masukkan cili kering dan biarkan sehingga cili itu agak garing.
Kemudian letak air lebih kurang setengah cawan. Dah mendidih, letak 3 sudu sos tiram dan kicap manis. Kalau ada kicap karamel pun boleh letak. Ini untuk warna. Letak kicap cair atau sos ikan untuk rasa.
Kalau sudah cukup rasa, masukkan kacang snow peas dan cendawan. Biarkan sehingga lembut, perlahan api dan masukkan perlahan-lahan tofu yang digoreng tadi.
Jika ada Hot Plate, panaskannya ketika ini. Apabila sudah betul2 panas, kaup perlahan-lahan lauk tadi. Biarkan ia mendidih seketika. Terus hidangkan.
Jika tiada Hot Plate, hidangkan dalam pinggan hidangan biasa.
Hot plate rupa2nya setelah dicuci dan dilap kering, mesti disapu minyak. Ini untuk elak ia berkarat.